PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa juruaudit, akauntan dan pengawal selia di seluruh ASEAN agar memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus yang baik berteraskan nilai murni serta maruah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kecemerlangan teknikal sahaja tidak mencukupi tanpa disertai kejelasan moral dan pengawasan bebas untuk membina institusi serta masyarakat yang bertanggungjawab.
"Teras kepada tadbir urus yang baik ialah kebertanggungjawaban,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar turut merujuk kepada Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menurutnya menekankan tanggungjawab dan tadbir urus sebagai asas utama bagi keterangkuman dan kemampanan.
"Siapa yang mahu tinggal di sebuah negara yang dipenuhi dengan ketirisan, rasuah dan pembaziran? Justeru saya amat menyokong Institusi Audit ASEAN untuk melaksanakan visi ini,” katanya.
Anwar turut menegaskan kepentingan memberi kuasa operasi bebas kepada institusi audit supaya bersedia menghadapi cabaran serantau dan domestik.
"Kini kita melangkah lebih jauh dengan memperkuat piawaian tertinggi dalam ketelusan dan kebertanggungjawaban, serta memperkukuh rangka kerja antirasuah melalui kebebasan juruaudit dan pengawal selia,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan audit, termasuk penyediaan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), sebelum ia dikemukakan kepada Kabinet atau dibentangkan di Parlimen.
"Memang mereka beri taklimat kepada saya baru-baru ini, tetapi itu hanya makluman – bukan untuk saya ubah atau campur tangan. Inilah maksud tadbir urus baik dan ketelusan yang sebenar,” tegas beliau.
Anwar percaya prinsip ini penting untuk memperkukuh kerajaan, meningkatkan integriti dan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah global.
Persidangan dua hari anjuran Jabatan Audit Negara sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ini bertemakan Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN.
Lebih 2,000 peserta sektor awam dan swasta termasuk wakil institusi audit tertinggi dari Brunei, Filipina, Kemboja, Laos serta negara pemerhati seperti Maldives dan Yaman menyertai persidangan tersebut.
Ketua Audit Negara Malaysia juga kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN. - Bernama