Malaysia sasar kedudukan 25 teratas CPI dunia menjelang 2033

Iklan
Lawatan kerja EAIC ke Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera pada Rabu.

TEMERLOH – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang mempergiat usaha memperkukuh penguatkuasaan dan tadbir urus sektor perhutanan bagi menepis persepsi negatif terhadap negara ini.

Ia selaras dengan sasaran Malaysia untuk meningkatkan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang kini berada di tangga ke-57 tahun lalu, ke arah mencapai kedudukan 25 teratas dalam penarafan antarabangsa menjelang tahun 2033.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Asliza Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui lawatan kerja Pasukan Petugas Khas CPI ke Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera.

Menurutnya, langkah itu susulan dapatan Bertelsmann Stiftung Transformation Index (BTI) 2024 yang menekankan isu penebangan hutan, kelemahan penguatkuasaan alam sekitar serta ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam.

Iklan

"Lawatan ini bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) selepas tamat tempoh lesen pembalakan, selain meneliti penggunaan teknologi satelit dalam mengesan perubahan kawasan hutan serta keberkesanan pemantauan secara praktikal.

"Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat dan pemerhati antarabangsa bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan hutan yang baik dan terkawal.

Iklan

"Selama ini, laporan CPI hanya bergantung kepada sumber dalam talian (laman web), tanpa pergi kepada sumber lapangan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik EAIC, Jasmee Hameeza Jaafar dan Pegawai Hutan Daerah, Nik Mohd Faris Nik Othman.

Dalam pada itu, Asliza menjelaskan bahawa isu pembalakan haram sering disalahertikan dan dibesar-besarkan oleh sesetengah pihak.

Ujarnya, berdasarkan statistik Jabatan Perhutanan, sebanyak 32 kes pembalakan haram direkodkan di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun lalu melibatkan keluasan 100 hektar, iaitu hanya 0.0017 peratus daripada lebih 5.7 juta hektar kawasan berhutan.

"Tetapi cara Malaysia digambarkan dalam isu pembalakan haram sangat teruk – seolah-olah menjadi punca utama banjir, tanah runtuh, dan penebangan hutan untuk kelapa sawit.

"Kita mahu jelaskan bahawa setiap lesen pembalakan dikeluarkan secara sah, dan setiap kawasan yang ditebang akan ditanam semula.

"Malah, kitaran penanaman semula ini telah memasuki fasa kedua sejak pelaksanaannya bermula pada tahun 1960-an,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 368 tangkapan dilakukan tahun lalu, melibatkan 299 warga tempatan dan 69 bukan warganegara termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan United Kingdom.

EAIC telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menerajui fokus kumpulan penguatkuasaan yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu bagi memperkukuh aspek integriti, kecekapan penguatkuasaan dan ketelusan undang-undang negara ke arah meningkatkan prestasi CPI menjelang 2033.