KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah secara tegas mengingatkan bahawa sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama ALLAH tidak boleh dipandang ringan.
Baginda bertitah, tindakan setimpal perlu dikenakan terhadap pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang negara.
"Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.
"Justeru, sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan," baginda bertitah demikian dalam satu hantaran di laman rasmi Kesultanan Pahang di sini pada Sabtu.
Tegas Al-Sultan Abdullah, pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah.
Titah baginda, setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.
Baginda bertitah, penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas.
"Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil. Berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta," titah baginda.
Mengulas kejadian baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah bertitah ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman di negeri ini.
Baginda turut mengingatkan bahawa keharmonian dan keamanan yang dinikmati adalah tanggungjawab bersama.
"Sebarang isu berkaitan agama hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga menegaskan bahawa golongan yang paling perlu memainkan peranan dalam perkara ini ialah kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat.
"Mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menghormati sensitiviti agama serta bersama-sama memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.