Peniaga ABC rugi lagi, kali kedua terima duit palsu

Iklan
Kedai Rohaya yang terletak di Pulai Chondong, Machang.

KOTA BHARU - Seorang peniaga air batu campur (ABC) sekali lagi menjadi mangsa wang kertas palsu apabila menerima bayaran daripada pelanggan menggunakan duit tiruan semasa sibuk melayan pelanggan lain di gerainya di Pulai Chondong, Machang.

Mangsa, Rohaya Mohd Zin, 40, berkata, insiden itu hanya disedari apabila dia cuba menggunakan wang hasil jualan tersebut untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai serbaneka di Kubang Kerian, pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Saya belanja lebih kurang RM75. Apabila nak bayar, saya guna beberapa keping duit RM10 dan RM20. Tapi juruwang curiga dan bawa duit itu ke pejabat.

"Lepas diperiksa, mereka maklumkan duit itu palsu. Rasa sedih sebab duit itu daripada pelanggan yang bayar masa membeli di gerai saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Rohaya, ini bukan kali pertama dia menjadi mangsa penipuan tersebut kerana pada tahun lalu, dia turut menerima wang palsu RM10 yang menyebabkan kerugian kerana wang itu tidak boleh digunakan.

Selain air batu campur, Rohaya turut menjual cendol.

Jelasnya, antara ciri duit palsu yang diterima ialah mempunyai tekstur kasar, tidak berkilat selain tiada gambar Yang di-Pertuan Agong pada salah satu bahagian wang tersebut.

Iklan

"Kalau kita tak lihat betul-betul, memang tak perasan.

"Tambahan pula masa tu sibuk berniaga, kadang-kadang pelanggan ramai, memang tak sempat nak tengok duit satu-satu,” ujarnya yang telah menguruskan gerai tersebut sejak 2022 selepas mengambil alih daripada adiknya.

Selain ABC, Rohaya juga menjual cendol, air batu jagung berharga antara RM3 hingga RM4.

Wanita itu turut mengakui cabaran berniaga dalam keadaan harga barangan yang semakin mahal ketika ini.

Justeru, dia berharap masyarakat lebih prihatin dan tidak mengambil kesempatan terhadap peniaga kecil sepertinya yang terpaksa berhempas pulas demi mencari rezeki halal.

"Zaman berniaga sekarang tak macam dulu. Kita bantu orang dengan jual murah, tapi ada pula yang sanggup beri duit palsu.

"Kalau dapat duit RM50 atau RM100 palsu, lagi besar ruginya. Sebab itu sekarang saya lebih berhati-hati dan kena tengok betul-betul setiap kali pelanggan bayar,” katanya.