Zaki Bijak kayak solo 550KM Sungai Pahang bawa misi hidup baharu

Iklan
Zaki Bijak memulakan misi kayak solo dari Cameron Highlands ke Pekan yang dijangka selesai pada 31 Mei ini. Foto ihsan Zaki

TEMERLOH – Bekas pesakit kanser darah atau limfoma Hodgkin tahap tiga, Mohd Zaki Yamani Azman, 36, terus bersemangat meneruskan misi solo berkayak merentasi Sungai Pahang dari Cameron Highlands ke Pekan, melibatkan jarak sejauh 550 kilometer (km) yang bermula Jumaat lalu.

Terkenal dengan gelaran 'Zaki Bijak', anak kelahiran Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut itu meletakkan sasaran menamatkan misi tersebut pada 31 Mei ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, misi ini merupakan ekspedisi pertamanya bagi tahun ini selepas kejayaan kayak solo merentasi Sungai Pahang sejauh 475 km dari Ulu Tembeling, Jerantut ke Pekan Riverfront pada Ogos tahun lalu.

"Misi ini juga sempena sambutan 10 tahun penubuhan Cancer Fighter Malaysia (CFM).

Iklan

"Saya menggunakan pengalaman sedia ada, selain membuat persediaan sejak Januari lalu termasuk latihan di Kuala Medang dan Kechau pada bulan lepas,” katanya ketika ditemui di Kuala Krau pada Selasa.

Anak bongsu daripada lima beradik itu terus nekad membawa semangat dan kesedaran kepada orang ramai serta sahabat-sahabat pejuang kanser untuk terus berjuang selaras dengan taglinenya 'Kanser bukan tiket untuk mati'.

Iklan

Jelasnya, ekspedisi kali ini dimulakan bersama sahabat daripada Kelab Kayak Kuala Lipis yang menyertainya selama dua hari satu malam, bermula dari Kampung Baru Semoi hingga ke Jeram Bechong untuk bermalam.

"Kemudian, saya menyambung perjalanan berkayak ke Tanjung Gahai bagi menyertai program berkumpulan sebelum meneruskan ekspedisi secara solo,” katanya.

Mula menghidap kanser pada tahun 2014 dan bebas sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu, dia turut dikenali menerusi pelbagai misi terdahulu antaranya Jelajah Borneo dengan RM1 dan Jelajah Semenanjung secara tumpang (hitchhiking).

Dalam pada itu, Zaki yang bertugas sebagai pemandu pelancong bersyukur kerana sepanjang kayuhan dan persinggahan di beberapa lokasi, dia menerima sokongan kuat terutamanya daripada penduduk kampung.

Ditanya mengenai kos menjayakan misi tersebut, Zaki memaklumkan dia memperuntukkan wang sendiri sebanyak RM3,000 selain menerima sumbangan peribadi daripada beberapa pihak.

"Saya berharap misi kali ini berjaya dan saya selamat tiba ke destinasi, walaupun berdepan cuaca tidak menentu serta pelbagai cabaran lain,” tambahnya.