KUALA LUMPUR - Selepas membuat liputan penuh Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini kira-kira selama dua jam pada pagi Isnin, petugas media menerima kejutan yang tidak disangka - bukan daripada urus setia atau penganjur, tetapi daripada Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão sendiri.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara dan Majlis Kerjasama Teluk bagi membincangkan kerjasama strategik.
Ketika sidang berakhir dan pemimpin-pemimpin negara bergerak ke acara berikutnya iaitu majlis makan tengah hari rasmi, kumpulan wartawan masih setia berkumpul di luar dewan menunggu perkembangan lanjut dan peluang temu bual singkat.
Ketika itulah Gusmão melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Dengan senyuman mesra, beliau menghampiri kumpulan media yang berada di dalam kawasan yang dikhaskan untuk mereka dan menghulurkan coklat dan gula-gula sambil berkata ringkas,"Ambillah, kamu semua dah tunggu lama.”
Tindakan penuh keprihatinan itu serta-merta mencetuskan senyuman tanda penghargaan dalam kalangan petugas media yang keletihan, rata-ratanya tidak menjangka sebarang interaksi sebegitu dalam suasana rasmi.
Menurut Iylia Marsya Iskandar, wartawan berusia 26 tahun dari The New Straits Times, tindakan kecil seperti itu memberi makna yang besar.
"Ia bukan tentang gula-gula itu sahaja, tapi tentang penghargaan. Jarang kita lihat interaksi seperti ini di acara sebegini,” katanya kepada Bernama.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dan hubungan antara ASEAN dan negara-negara Teluk.
Ditubuhkan pada 1981 dan beribu pejabat di Riyadh, GCC dianggotai enam negara iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Bernama