SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan lantikan politik seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
C4 Center itu menegaskan kenyataan Anwar mengkhianat agenda reformasi dengan mengesahkan pelantikan berasaskan kesetiaan politik.
"Anwar telah berulang kali mempertahankan pelantikan politik, mendakwa ia dibenarkan jika calon mempunyai kelayakan profesional dan bahawa pertalian politik mereka tidak relevan.
"Namun, C4 dan pertubuhan masyarakat sivil lain menolak hujah ini, sebaliknya mencadangkan proses pelantikan yang telus berdasarkan garis panduan jelas yang merangkumi kriteria kelayakan dan larangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Anwar dalam ucapannya di Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, lantikan politik dalam kerajaan yang mengangkat individu layak seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa
Beliau berkata, lantikan politik adalah satu bentuk balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.
Tambah C4, apa yang lebih membimbangkan apabila ia dibuat secara terbuka mengakui dan mempertahankan ganjaran berdasarkan kesetiaan politik.
Katanya, ia berbeza dengan pendirian awalnya yang mendakwa pertalian politik tidak diambil kira.
"Persoalannya, adakah calon yang setia kepada Anwar dan PKR akan diutamakan walaupun terdapat ramai calon lain yang sama layak?
"Pelantikan politik berisiko mengukuhkan rangkaian kroni, di mana pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sering membuat keputusan untuk memanfaatkan parti atau individu yang melantik mereka.
"Anwar kini secara terang-terangan menyokong politik patronase (naungan) menjadikan kesetiaan sebagai mata wang transaksi untuk mendapatkan kuasa," katanya.
Menurut C4, kenyataan Anwar bukan sekadar menjadi bahan ketawa tetapi petanda beliau tidak serius membanteras rasuah dan kronisme dalam budaya politik Malaysia.
Ujarnya, sebagai Perdana Menteri beliau telah menetapkan satu duluan yang berbahaya dengan menormalkan amalan rasuah dalam pelantikan politik.
"Jika beliau bebas memberi ganjaran jawatan kepada penyokong setia, apa yang menghalang parti lain daripada berbuat sama? Politik mengubah pelantikan menjadi cip tawar-menawar, bukan peluang untuk rakyat.
"GLC dan badan berkanun mempunyai fungsi awam penting dalam sektor seperti pengangkutan, kesihatan dan pendidikan. Integriti mereka mesti dilindungi daripada dieksploitasi untuk kepentingan peribadi atau politik.
"Tanpa dasar pelantikan yang jelas, kerajaan boleh mentakrifkan ‘kelayakan’ secara sewenang-wenangnya untuk mencapai agenda sendiri," katanya.