'Hantar isteri, anak ke KLIA, petang temui Ilahi'

Iklan
Mustajab menunjukkan gambar terakhir Allahyarham bersama isteri dan lima anak mereka di KLIA pada Isnin.

KUALA SELANGOR – [DIKEMAS KINI]"Arwah sempat menghantar isteri dan anak-anak ke KLIA pada sebelah pagi, namun petang itu, dia pula menemui Ilahi.”

Demikian luah Mustajab Leman, 58, adik kepada Saiful Bahri Leman, 63, yang maut dihempap buah sawit di sebuah kebun di Batu 7, Ijok di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Mustajab, Allahyarham yang menetap di Kampung Batu 8, Ijok, sempat menghantar isteri dan tiga anaknya ke KLIA kira-kira jam 5 pagi bagi menaiki penerbangan ke Korea Selatan.

"Arwah bersama anak ketiganya yang masih belajar di Sepang dan anak sulungnya yang menetap di Sungai Buloh menghantar mereka ke KLIA.

Iklan

"Namun, arwah dan dua anaknya yang lain tidak ikut serta dan mereka pulang ke rumah sebelum abang saya itu ke kebun untuk bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ijok pada Selasa.

Jelas Mustajab, Allahyarham sempat merakam gambar kenangan bersama isteri dan kelima-lima anak mereka di lapangan terbang, namun hanya dia yang kelihatan tidak tersenyum.

Iklan

"Wajahnya nampak berbeza, seolah-olah menyimpan sesuatu, rupa-rupanya itu gambar terakhir sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya sebak.

Menurutnya, sebaik menerima perkhabaran duka itu, isteri dan tiga anak arwah yang sedang dalam perjalanan ke luar negara terpaksa pulang semula ke tanah air.

"Mereka bertolak dari Korea Selatan pada jam 8.15 pagi tadi (Selasa) dan anak sulung arwah ketika ini sedang mengambil ibu dan tiga adiknya di KLIA,” jelasnya.

Mustajab memberitahu, kejadian berlaku ketika arwah sedang mengait buah sawit di kebun berkenaan.

"Saya tidak berada di lokasi dan hanya dimaklumkan oleh seorang rakan sekitar jam 4.30 petang bahawa abang saya ditimpa buah sawit.

"Saya tanpa berlengah terus bergegas ke lokasi dan rasa menggigil sebaik melihat keadaan abang yang sudah tidak bernyawa,” tambahnya.

Ujarnya, arwah yang juga anak keempat daripada sembilan beradik dikenali sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan disenangi penduduk kampung serta ahli kariah masjid.

"Saya sempat berjumpa dan berbual dengan arwah pada Ahad siang, tak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Ijok, kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian.