SHAH ALAM - Festival Ramadan Selangor 2026 (FESTIRA 2026) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang tempoh penganjuran, khususnya menjelang Aidilfitri.
Program yang memasuki edisi ke-12 tahun ini menghimpunkan lebih 1,000 peniaga yang menawarkan pelbagai barangan keperluan Ramadan dan persiapan Aidilfitri dalam suasana lebih tersusun serta kondusif.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran kali ini turut diperkasakan dengan pengenalan FESTIRA+ di Aneka Walk, yang menampilkan konsep bazar raya berwajah baharu dalam suasana ruang bandar terbuka dan berbumbung untuk pengunjung.
"Secara tradisi, Kompleks PKNS di SACC akan melanjutkan waktu operasi jualan sehingga lewat malam pada minggu terakhir menjelang hari raya.
"Namun dengan penganjuran aktiviti di Aneka Walk dan pelbagai program yang dirancang, tempoh kemeriahan dijangka berlanjutan lebih lama, berkemungkinan sehingga dua minggu seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Ramadan Selangor (FESTIRA 2026) di Aneka Walk, Shah Alam (SA) Sentral, Seksyen 14 pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif (Designate) SA Sentral, Datuk Mohd Najib Datuk Ibrahim; Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Amirudin berkata, pelaksanaan acara tersebut juga dilihat sebagai usaha menambah nilai gaya hidup di Shah Alam yang selama ini terkenal sebagai kawasan penempatan matang dan berorientasikan keluarga.
"Dengan adanya Aneka Walk ini, kita masih menggalakkan ibu bapa untuk datang bersama-sama anak mereka.
"Pada masa yang sama, kita turut memasukkan elemen muzik dan persembahan bagi menarik golongan remaja," ujarnya.
Beliau berkata, Shah Alam sememangnya tidak asing dengan golongan muda kerana menempatkan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Management and Science University (MSU), selain kawasan perindustrian.
"Bagaimanapun, mereka lebih cenderung memilih lokasi lain seperti Seksyen 13, Seksyen 7, Seksyen 2 dan Seksyen 16 untuk beraktiviti.
"Jadi, Shah Alam Central bersama Aneka Walk serta program seumpamanya diharap mampu merancakkan lagi aktiviti dan menarik lebih ramai golongan muda ke kawasan ini," katanya.
Mengulas proses pembangunan di SA Sentral, Amirudin berkata, sebanyak 20 peratus sudah hampir siap dan jualan mendapat tarikan besar dalam kalangan pembeli.