Malaysia terajui pembukaan AHCDIS, himpun 300 pemain utama ASEAN

Iklan
Steven (tengah) dan Abu Huraira (tiga dari kanan) di program AHCDIS, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Malaysia membuka tirai Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) 2025 dengan menghimpunkan lebih 300 pihak berkepentingan utama dari seluruh ASEAN dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau terutama pembangunan kemahiran dan modal insan.

Program yang berlangsung pada 27 dan 28 Mei 2025 itu dianjurkan bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia dan inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, yang menjadi platform utama pertama tahun ini untuk membincangkan pelaburan strategik dalam latihan, pembiayaan mampan serta penyertaan inklusif tenaga kerja serantau.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, AHCDIS dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui syarikatnya, bertemakan ‘Pelaburan dalam Modal Insan, Pembiayaan Mampan, Perkongsian Awam-Swasta dan Inklusiviti Sosial’.

"AHCDIS adalah platform tindakan serantau di mana pembuat dasar, organisasi majikan, wakil pekerja, rakan pembangunan dan institusi pendidikan berkumpul untuk mengenal pasti penyelesaian yang boleh diambil tindakan, berkongsi amalan terbaik serta membina momentum ke arah pelaburan jangka panjang dalam modal insan.

Iklan

"Semuanya memberi tumpuan kepada penerokaan atau reka bentuk pendekatan inovatif untuk mengoptimumkan pelaburan dalam latihan dan pembangunan kemahiran serantau,” katanya di program AHCDIS, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Program yang dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu dihadiri oleh, Ketua Pegawai Strategi HRD Corp merangkap Pengerusi Penganjur AYOS 2025, Dr Rony Ambrose Gobilee; Penasihatnya, Datuk Shahul Dawood; Pengarah Pasukan Sokongan Teknikal Kerja yang Layak untuk Asia Timur dan Asia Tenggara serta Pasifik dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Xiaoyan Qian dan Penolong Pengarah merangkap Ketua Bahagian Buruh dan Perkhidmatan Awam Sekretariat ASEAN (ASEC), Mega Irena.

Iklan

Sebelum ini, Malaysia secara rasminya melancarkan AYOS 2025, iaitu usaha pembangunan modal insan sepanjang tahun di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia.

Program Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Program tersebut dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Azman Mohd Yusof dan disaksikan oleh Abu Huraira.

Dalam pada itu, Abu Huraira berkata, AHCDIS adalah kerjasama antara ILO dan ASEC sekali gus menjadi platform untuk pembuat dasar dan organisasi majikan dalam pembiayaan kemahiran tenaga kerja melalui pemindahan ilmu terutamanya menerusi pembentangan kertas kerja dan sesi panel.

"Modal insan adalah sumber paling berharga bagi ASEAN. Golongan belia, pekerja dan profesional mempunyai potensi untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan serta makmur tetapi hanya jika kita sanggup melabur untuk mereka.

"Kami berbangga kerana mendapat sokongan Sekretariat ASEAN, ILO dan pelbagai rakan pembangunan yang telah membantu merangka agenda penting ini.

"Jadi saya menggesa semua delegasi, daripada kerajaan, industri, kewangan, pendidikan dan masyarakat sivil untuk terlibat sepenuhnya dalam simposium ini. Jadikan platform ini sebagai sumber inspirasi, bukan sahaja idea tetapi juga komitmen,” ujarnya.

Sementara itu, Steven Sim berkata, Malaysia berhasrat menerajui kerjasama serantau dalam pembangunan modal insan melalui penganjuran AYOS 2025.

Jelas beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja selaras dengan aspirasi negara membina sektor latihan kemahiran bertaraf dunia, malah menjadi usaha konkrit untuk memperkukuh jaringan latihan kemahiran di peringkat ASEAN.

"Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN hari ini merupakan permulaan kepada empat acara utama yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini.

"Selepas ini, kita akan menganjurkan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN pada Julai, Persidangan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN pada Ogos dan diakhiri dengan Forum Kemahiran Global serta Forum Menteri-Menteri Buruh ASEAN pada Oktober," katanya.

Mengulas lanjut, Steven berharap semua pihak menggunakan platform yang disediakan untuk saling bertukar kepakaran dan memperkukuh rangkaian serantau dalam bidang latihan kemahiran.

"ASEAN boleh menjadi rantau paling berkemahiran tinggi di dunia, menarik bakat, pelaburan dan inovasi demi pertumbuhan serta kemakmuran bersama,” ujarnya.