RIUH di media sosial apabila berita mengenai tarikh Hari Raya Aidiladha yang didakwa jatuh pada 6 Jun, sehari lebih awal daripada jangkaan sambutan hari raya itu di Malaysia mengikut takwim Hijri.
Mana tidaknya, sebelum ini kira-kira tiga tahun lalu, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan hari raya sehari lebih awal daripada tarikh jangkaan apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan ia jatuh pada 2 Mei berbanding tarikh jangkaan iaitu 3 Mei 2022.
Persoalannya, apakah Hari Raya Aidiladha pada tahun ini juga disambut sehari lebih awal?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya menjelaskan, dakwaan Hari Raya Aidiladha jatuh pada 6 Jun 2025 seperti tular di media sosial itu dikeluarkan Pusat Astronomi Antarabangsa.
"Hasil cerapan tersebut kemudiannya akan dilaporkan ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan seterusnya diumumkan di media sosial dan kaca televisyen,” jelasnya di Facebooknya pada Isnin.
Menurutnya, perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim Hijri di Malaysia adalah mengguna pakai kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (hitungan falak) dengan merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan.
"Adapun Arab Saudi mengamalkan kaedah Umm al-Qura bagi menentukan awal bulan-bulan Hijri. Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim Hijri di Malaysia sejak 1995 lagi,” jelasnya.
Bagaimanapun menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, bermula pada bulan Muharam 1443H, Malaysia telah mengaplikasikan syarat kenampakan yang baharu iaitu anak bulan dianggap kelihatan sekiranya berada pada kedudukan 3 darjah tinggi dari ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4 darjah ketika matahari terbenam hari ke-29 dalam setiap bulan Hijri.
"Syarat Imkanur Rukyah ini turut dipersetujui penggunaannya oleh negara-negara MABIMS (Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura).
"Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria Imkanur Rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri,” hurainya.
Oleh itu katanya, berkemungkinan akan berlakunya perbezaan dalam tarikh permulaan awal bulan tersebut.
"Dalam aspek Fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu.