Warga Myanmar didenda RM5,000 cuba rasuah polis RM95

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Selasa.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu restoran warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan merasuah seorang anggota polis bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang kerana menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah pada Khamis lalu.

Tertuduh, Han Tun, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu secara rasuah memberikan sejumlah wang bernilai RM95 kepada Konstabel Uzairuddin Azizi Che Omar sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Burma, George Town kira-kira jam 6.30 petang pada 22 Mei lalu.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Dalam rayuannya, Han Tun memohon agar hukuman ringan diberikan atas alasan menanggung kedua ibu bapanya di Myanmar dan perlu menghantar wang setiap bulan kepada mereka.

Tertuduh juga kesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya selain mahu terus bekerja di negara ini dalam tempoh kontrak yang berbaki setahun lagi.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Zulhazmi mengingatkan tertuduh bahawa perbuatan rasuah di negara ini adalah kesalahan yang serius sebelum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.