KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Insiden pergaduhan mulut antara sekumpulan penduduk Orang Asli Kampung Arong di Pekan dengan anggota polis yang tular di media sosial pada Isnin disahkan telah diselesaikan secara damai.
Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, penduduk terlibat hadir ke Balai Polis Paloh Hinai pada hari kejadian dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
"Tiada siasatan lanjut dibuka kerana kejadian berpunca daripada salah faham. Kehadiran anggota polis adalah untuk menasihatkan penduduk agar tidak menghalang kerja pengukuran tanah bagi projek pembinaan kilang kertas oleh sebuah syarikat.
"Namun, suasana menjadi tegang apabila berlaku provokasi dan kata-kata kurang sopan daripada segelintir penduduk,” katanya.
Terdahulu tular klip video berdurasi 5 minit 17 saat di media sosial mengenai pertengkaran antara penduduk dengan pihak polis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Adam Zaidi Mahidin berkata, insiden tersebut berpunca daripada kekeliruan mengenai keluasan sebenar tanah pajakan yang diberikan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang kepada syarikat terlibat.
"Tanah yang dipertikaikan merupakan tanah rizab Melayu yang dahulunya menjadi tapak asal penempatan Kampung Arong sebelum penduduk dipindahkan ke kawasan baharu.
"Kawasan tersebut masih mempunyai tanaman milik Orang Asli dan juga tanah perkuburan lama.
"Pajakan telah diberikan kepada syarikat untuk tujuan pembangunan, termasuk perjanjian menjanjikan pulangan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada komuniti,” katanya.
Menurut Adam, penduduk tidak dimaklumkan secara jelas mengenai perincian projek, termasuk penggunaan 40 hektar untuk fasa pertama, dan tambahan 161 hektar untuk fasa kedua pembinaan kuarters pekerja.
"Saya dimaklumkan sebanyak 100 ekar digunakan untuk fasa pertama dan bakal berlaku pajakan lagi 400 ekar termasuk untuk fasa kedua iaitu pembinaan kuaters pekerja," katanya.
JAKOA telah menasihatkan syarikat terlibat agar berurusan terus dengan PSK dan kerajaan negeri bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Individu yang menyebarkan video insiden itu juga telah dinasihatkan supaya memadam kandungan berkenaan bagi mengelakkan salah tafsir dalam kalangan masyarakat.