SEREMBAN – Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat milik isterinya.
Tertuduh, Rosdi Pilus, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Pegawai Belia dan Sukan gred S44 merangkap Penolong Pengarah di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu kontrak perkhidmatan bagi isterinya dengan mengambil tindakan membuat padanan bayaran bagi baucar sebut harga perniagaan syarikat milik isterinya berkaitan perolehan Perkhidmatan Pakej Penginapan, Makan dan Minum Kursus Teknologi Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan bernilai RM19,990.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 November 2021 di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Seremban.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 23 Februari 2022 di lokasi sama telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu kontrak perkhidmatan bagi isterinya dengan mengambil tindakan memperakukan Kelulusan Ketua Bahagian pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik isterinya bagi perolehan Perkhidmatan Program Hari Sukan Negara Tahun 2022 (IISN2022) Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam, Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon jaminan paling minimum terhadap tertuduh kerana jumlah jaminan yang dicadangkan adalah di luar kemampuan tertuduh dan penjaminnya.
Katanya, tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan.