SIKR 2.0 lindungi 300,000 ketua isi rumah miskin

Iklan
Anwar (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan SIKR kepada salah seorang waris semasa Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor pada Ogos lalu.

Usaha menangani kemiskinan rakyat oleh kerajaan terutamanya menoktahkan miskin tegar bukan tertumpu kepada program bantuan semata-mata.

Kerajaan telah mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan satu skim perlindungan sosial bagi memastikan golongan rentan terutamanya kategori miskin dan miskin tegar tidak terabai, malah mendapat perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku sesuatu musibah atau bencana.

Iklan
Iklan

Skim perlindungan sosial adalah satu keperluan kepada golongan ini memandangkan cabaran ekonomi semasa serta ancaman kesihatan yang terus menghimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Kerajaan melihat bahawa golongan rentan terutamanya kategori miskin dan miskin tegar sewajarnya diberi perhatian khusus bagi melindungi mereka agar tidak terus terhimpit berikutan musibah atau bencana yang melanda keluarga mereka.

Iklan

Di samping itu, kerajaan sedar bahawa hampir keseluruhan golongan rentan di Malaysia tidak dilindungi polisi insurans. Ini disokong dengan kajian oleh Malaysian Takaful Association (MTA) iaitu kira-kira 60 peratus penduduk Malaysia dalam kumpulan B40, masih lagi tidak mempunyai perlindungan takaful atau insurans.

Oleh hal yang demikian, bagi menyediakan isi rumah miskin berhadapan dengan risiko yang tidak dijangka serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara, kerajaan memperkenalkan pelan perlindungan insurans yang dikenali sebagai Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR).

Iklan

Skim insurans itu telah diperluaskan kepada semua ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang berdaftar di dalam pangkalan data nasional eKasih.

SIKR merupakan pelan takaful berkelompok eksklusif patuh syariah percuma yang ditaja oleh kerajaan bagi melindungi 300,000 KIR miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih di bawah bidang kuasa Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Mentyeri (ICU JPM).

SIKR diuruskan secara eksklusif oleh syarikat insurans yang dilantik dengan pelan bertempoh selama satu tahun dan menyediakan pampasan atau melindungi pemegang polisi sekiranya berlaku kematian semula jadi atau kemalangan atau hilang upaya kekal dan menyeluruh akibat situasi yang tidak dijangka mengikut kadar yang ditetapkan di dalam polisi.

Proses pendaftaran perlidungan insurans dilaksanakan secara automatik berdasarkan senarai nama golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di dalam pangkalan data nasional eKasih.

Pembiayaan perlindungan percuma

SIKR siri pertama dilancarkan pada tahun 2022, dengan sumbangan premium oleh kerajaan berjumlah RM13.4 juta bagi melindungi seramai 268,887 orang KIR eKasih.

Kerajaan membiayai setiap KIR dengan premium berjumlah RM50 untuk tempoh setahun perlindungan.

Sekiranya seseorang KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, waris atau keluarga atau ahli isi rumah (AIR) akan mendapat manfaat atau pampasan berjumlah RM10,000.

Bagi kes kemalangan ke atas KIR yang menyebabkan keilatan atau kecacatan kekal pula akan menerima pampasan berjumlah RM10,000 dan sekiranya mereka meninggal dunia akibat kemalangan akan diberikan pampasan berjumlah RM20,000.

Sepanjang tempoh 1 September 2022 hingga 31 Disember 2023 (Fasa I dan II) sejumlah 1,377 KIR telah mendapat manfaat atau pampasan berjumlah RM14.3 juta berikutan kematian dan kemalangan yang menimpa KIR.

Pampasan yang diterima dapat membantu ahli keluarga berhadapan dengan risiko tidak dijangka dan memastikan kelangsungan hidup mereka.

Sementara itu, prosedur tuntutan adalah mudah dengan mengemukakan dokumen kematian atau dokumen rawatan kesihatan (bagi kemalangan yang menyebabkan kecatatan) kepada Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM).

Ia bertujuan untuk pengesahan dan kemudiannya akan diuruskan proses pampasan bersama syarikat pengendali insurans bertanggungjawab.

SIKR 2.0 beri manfaat 300,000 KIR

Kerajaan melihat inisiatif ini wajar diteruskan dengan pelancaran SIKR 2.0 demi memastikan kepentingan dan kebajikan sosial golongan ini terus dilindungi secara adil dengan menambahbaik perlindungan.

Ia dilaksanakan dengan meningkatkan kadar pampasan kepada RM10,500 bagi kematian normal, RM25,500 bagi kemalangan serta RM10,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan.

Pada 17 Ogos 2024 semasa Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan SIKR 2.0 bagi meneruskan inisiatif dan komitmen kerajaan dalam memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar di negara ini.

Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM18 juta bagi membantu 300,000 KIR melalui SIKR 2.0 bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Mei 2025.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan pampasan SIKR 2.0 berjumlah RM10,500 kepada tiga waris untuk meringankan beban dan meneruskan kelangsungan hidup.

Sehingga tempoh ini sebanyak 431 waris telah menerima bayaran manfaat dan 1,019 sedang diproses.

Melihatkan kepada data-data ini terutamanya manfaat yang dikecapi golongan miskin dan miskin tegar eKasih, ianya menggambarkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam melindungi rakyat.

Ia juga membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Madani secara berterusan dalam konteks nilai ihsan yang menjadi salah satu teras nilai Madani.

Inisiatif kerajaan melalui SIKR adalah sesuatu yang berimpak tinggi kepada golongan miskin dan miskin tegar dalam mendapatkan perlindungan sosial yang sewajarnya.

Inisiatif SIKR ini juga dilihat langkah strategik terkehadapan dalam memberikan keadilan sosial kepada golongan sasar.

Ini kerana kecelikan masyarakat kita terutamanya golongan miskin dan miskin tegar terhadap keperluan dan kepentingan perlindungan insurans masih di tahap rendah berbanding negara-negara Asia lain.

Inisiatif kerajaan ini secara tidak langsung mendidik masyarakat terutamanya golongan miskin dan miskin tegar agar peka dengan keperluan kepada perlindungan sosial seperti insurans.

*Azhar Ismail ialah Timbalan PengarahUnit Komunikasi Korporat & Media, ICU JPM

AZHAR