SHAH ALAM - Visa mujamalah yang diperoleh jemaah tidak akan membawa mereka ke Tanah Suci jika tiada pakej sah ditawarkan dalam sistem.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pihaknya setakat ini belum menerima aduan rasmi daripada mana-mana jemaah, namun ada makluman yang diterima bahawa terdapat individu memperoleh visa tetapi gagal membeli pakej disebabkan ketiadaan dalam sistem.
"Ada yang dah dapat visa tapi bila nak beli pakej, tidak ada. Visa mujamalah ini kalau ada pun, satu Malaysia mungkin sekitar 500 orang sahaja dapat tahun ini.
"Sekarang ini, walaupun dapat visa, belum tentu boleh pergi sebab sistem tidak ada pakej untuk dibeli. Ada jemaah tunggu sampai tiga minggu pun masih tidak dapat beli pakej,” katanya kepada Sinar Harian.
Pakej haji mujamalah adalah menunaikan haji dengan menggunakan visa yang dikeluarkan dari Kedutaan Arab Saudi.
Visa haji akan dikeluarkan kepada agensi yang terpilih tanpa menggunakan kuota Tabung Haji (TH) dan jemaah dapat menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran yang lama.
Tambah Razali, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan jemaah berhubung cara visa mujamalah berfungsi kerana ramai menyangka visa itu bersifat mutlak dan boleh digunakan terus.
"Visa mujamalah ini, contohnya duta beri kelulusan atau surat sokongan, tapi untuk keluar visa sebenar, kena beli pakej dalam sistem. Kalau sistem tiada, atau pakej sudah habis, visa itu jadi tidak laku.
"Apa yang diberi awal itu cuma kebenaran. Nak keluar visa penuh, wajib beli pakej,” jelasnya lagi.