TUNGGAKAN sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang kini mencecah RM70 juta menunjukkan isyarat bahaya kepada kelangsungan sistem perumahan awam di Kuala Lumpur.
Jumlah tunggakan yang besar itu bukan sekadar masalah kewangan malah mencerminkan ketirisan budaya tanggungjawab yang semakin parah dalam kalangan penghuni perumahan rakyat.
Apabila penyewa tidak bayar sewa selama bertahun-tahun dan tiada tindakan tuntas diambil, sistem yang dibina untuk membantu rakyat akhirnya bertukar menjadi beban kepada pengurusan serta pembayar cukai.
Lebih membimbangkan, perkara itu berlarutan hingga menjejaskan aspek kebersihan, penyelenggaraan bangunan, pembaikan kemudahan awam dan mutu kehidupan seluruh komuniti.
Salah satu punca utama isu berkenaan adalah sikap segelintir penyewa menganggap perumahan awam sebagai hak mutlak tanpa perlu membayar sewa.
Bagi mereka, rumah yang diberikan atas nama bantuan kerajaan tidak datang bersama tanggungjawab menjelaskan bayaran bulanan.
Sikap tersebut diburukkan lagi dengan andaian bahawa pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan tegas walaupun tunggakan sudah mencecah ribuan ringgit.
Selain itu, kelemahan sistem pengurusan kutipan sewa turut menyumbang kepada ketirisan.
Ketiadaan sistem pemantauan automatik yang boleh mengesan tunggakan lebih awal menyebabkan tindakan hanya diambil apabila jumlahnya sudah terlalu besar.
Seterusnya, golongan B40 yang tinggal di PPR berdepan kos sara hidup yang meningkat saban tahun.
Bagaimanapun, terdapat keperluan jelas membezakan antara mereka yang benar-benar tidak mampu membayar dan pihak yang sengaja culas.
Ada penyewa yang menyewakan semula unit PPR kepada pihak ketiga dengan kadar lebih tinggi sekali gus mengambil kesempatan ke atas sistem yang direka untuk golongan memerlukan.
Isu berkenaan perlu ditangani secara sistematik dan berlapis bermula dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih konsisten.
Pihak berkuasa hendaklah melaksanakan tindakan tegas secara menyeluruh terhadap penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan dalam tempoh masa ditetapkan termasuk pemasangan kunci air, pemotongan kemudahan serta proses pengusiran bagi kes berulang.
Mereka yang masih berdegil perlu diberi isyarat jelas bahawa perumahan rakyat bukan skim percuma tanpa syarat.
Langkah kedua ialah memperkenalkan ganjaran kepada penyewa yang berdisiplin dan komited membayar sewa secara tetap.
Skim insentif seperti potongan sewa, pembaikan percuma atau keutamaan dalam pemilikan rumah mampu milik boleh membina budaya positif dan mendorong lebih ramai penyewa mematuhi tanggungjawab.
Langkah ketiga ialah mewujudkan mekanisme pemantauan berasaskan komuniti dengan kerjasama ketua blok dan jawatankuasa penduduk.
Pendekatan tersebut membolehkan pelaporan awal terhadap tunggakan atau penyalahgunaan unit sekali gus mempercepatkan tindakan susulan oleh pihak berkuasa.
Akhir sekali, dasar pemilikan rumah perlu dikaji semula secara menyeluruh agar mereka yang benar-benar layak, memiliki rekod bayaran baik dan sudah tinggal lebih 10 tahun diberi peluang untuk membeli unit PPR didiami.
Pemilikan itu bukan sahaja meringankan beban pengurusan malah menyuntik rasa tanggungjawab lebih tinggi terhadap penjagaan unit dan kawasan sekitar.
RM70 juta bukan angka kecil dan jika isu tersebut dibiarkan tanpa tindakan tegas, ia akan terus mencerminkan kelemahan sistem pengurusan perumahan awam negara.
Apabila perumahan rakyat dijadikan percuma, bukan hanya sistem yang rugi tetapi masa depan rakyat keseluruhan turut terjejas.
Oleh itu, tanggungjawab membayar sewa tidak boleh lagi dianggap pilihan sebaliknya satu kewajipan demi kelangsungan sistem untuk generasi akan datang.
* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah Wartawan meja ekonomi Sinar Harian