ASEAN sepakat, fleksibel isu tarif AS

Iklan
Johari semasa sidang media selepas Sesi Libat Urus Pemimpin ASEAN bersama wakil AIPA sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – ASEAN mengambil pendekatan bersatu namun fleksibel dalam menangani isu tarif baharu yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Johari Abdul berkata, pemimpin serantau telah mencapai persefahaman bersama untuk menghadapi isu tersebut tanpa menjejaskan kedaulatan setiap negara anggota.

Iklan
Iklan

"Berhubung isu tarif AS, difahamkan bahawa pemimpin-pemimpin ASEAN telah bermesyuarat dan mencapai satu persefahaman bersama mengenai cara menangani situasi tidak menentu itu.

"Daripada maklumat yang saya peroleh, terdapat pendekatan kolektif dalam kalangan negara ASEAN untuk menavigasi cabaran yang ditimbulkan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sempena Sesi Libat Urus Pemimpin ASEAN–AIPA ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Johari yang juga Speaker Dewan Rakyat berkata, meskipun blok tersebut berkongsi visi yang sama, ia turut mengiktiraf kepelbagaian keadaan ekonomi setiap negara anggota dan membenarkan mereka meneroka kerjasama dua hala sekiranya berhasrat berbuat demikian.

Iklan

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa negara-negara ASEAN diberi ruang untuk berurusan secara individu dengan AS, selagi terdapat persefahaman bersama dalam kalangan pemimpin serantau.

Menurut Johari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengetuai langkah awal membuka perbincangan dalam kalangan pemimpin serantau.

"Beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia dan Vietnam telah mengadakan perbincangan secara terus dengan pentadbiran Trump. Saya percaya negara lain turut berbuat demikian,” ujarnya.

Beliau menambah, rundingan-rundingan itu berkemungkinan menyumbang kepada keputusan AS untuk menangguhkan pelaksanaan tarif selama kira-kira 90 hari.

"Sudah tentu, bagi maklumat yang lebih tepat dan terperinci, adalah lebih baik dirujuk kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Namun, berdasarkan perkembangan tersebut, saya merasakan bahawa AS sedang menilai semula pendiriannya dan melihat lebih dekat kesan yang lebih luas,” katanya.

Pada awal tahun 2025, Trump mengumumkan siri tarif menyeluruh yang menyasarkan pelbagai negara dan sektor dengan matlamat untuk menggalakkan pengeluaran domestik, melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan defisit dagangan.

Beliau mendakwa langkah itu akan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Amerika serta mengekang imigresen haram dan penyeludupan dadah dari negara seperti Mexico dan China.

Pada 1 Jun, Trump mencadangkan agar eksport dari Kesatuan Eropah (EU) ke AS dikenakan tarif sebanyak 50 peratus, meningkat daripada kadar sementara 10 peratus sebelum ini, dengan rundingan yang tergendala dijadikan alasan utama.

China menerima penalti paling keras dengan tarif mencecah sehingga 145 peratus menjelang 9 April, sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung sementara tarif selama 90 hari bermula 14 Mei dan menyaksikan kadar dikurangkan kepada antara 10 hingga 30 peratus.

Trump turut memperkenalkan tarif asas sejagat sebanyak 10 peratus ke atas semua import pada 2 April dengan kadar yang lebih tinggi dikenakan ke atas kira-kira 60 negara ‘paling bermasalah’ pada 9 April.

Kanada dan Mexico pula dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import am dan 10 peratus bagi tenaga dari Kanada pada Februari, manakala Kanada mengenakan cukai balas sebanyak 25 peratus ke atas kenderaan AS sebagai tindak balas.

Tarif lain termasuk duti 25 peratus ke atas keluli dan aluminium berkuat kuasa 12 Mac, 25 peratus ke atas kereta buatan luar negara bermula 2 April dan cadangan tarif 100 peratus ke atas filem luar negara yang diumumkan pada 4 Mei.

United Kingdom (UK) pula memperoleh kelegaan separa melalui perjanjian dua hala yang menyaksikan pengurangan tarif ke atas eksport tertentu termasuk kereta dan keluli, sebagai balasan kepada pemansuhan cukai UK ke atas daging lembu AS.

Tarif-tarif tersebut menyebabkan gangguan besar kepada ekonomi global apabila pasaran menjadi tidak stabil, nilai dolar AS merosot dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2025, serta memberi amaran bahawa AS mungkin berdepan kemelesetan.

Sementara itu, pengguna dijangka menanggung harga yang lebih tinggi apabila syarikat memindahkan kos, mengurangkan import atau menangguhkan penghantaran barangan di sempadan, terutamanya dalam industri elektronik, automotif dan mainan.