'Guru Bangsa Usahawan' angkat kisah legasi Hussamuddin

Iklan
Roslan (kiri) dan Hussamuddin ketika pelancaran buku Guru Bangsa Usahawan dan Old Money New Money pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 pada Isnin. - FOTO : SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Buku Hussamuddin Yaacub: Guru Bangsa Usahawan yang mengangkat kisah perjuangan, pemikiran, legasi dan perjalanan hidup Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub dilancarkan secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Isnin.

Karya yang ditulis oleh Datuk Roslan Ab Hamid ini diterbitkan di bawah Jejak Tarbiyah (JTX) menerusi imprint JT Publishing House.

Iklan
Iklan

Menurut Roslan, buku berkenaan bukanlah sebuah biografi tradisional, sebaliknya catatan naratif yang dirumus daripada pengalaman dan perbualan bersama tokoh tersebut sepanjang lebih 10 tahun.

"Ini adalah sebahagian daripada catatan pertama yang sempat saya terbitkan. Banyak lagi yang akan dikongsikan selepas ini kerana saya sering duduk bersama beliau, minum kopi, makan, dan mendengar cerita serta pandangan hidupnya.

Iklan

"Penulisan buku ini saya siapkan dalam masa empat bulan, dan proses suntingan turut dijalankan dalam tempoh yang sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Buku berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan.

Iklan

Roslan menjelaskan bahawa naskhah itu menghimpunkan pemikiran, prinsip dan nilai yang dibawa oleh Hussamuddin sejak muda, termasuk semangat keusahawanan yang dibentuk ketika membantu perniagaan buku milik bapanya.

Azman (tengah) menandatangani plak pelancaran disaksikan oleh Penulis Buku Hussamuddin Yaacub: HusGuru Bangsa Usahawan, Datuk Roslan Ab Hamid, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub pada pelancaran buku Guru Bangsa Usahawan dan Old Money New Money pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 pada Isnin. - FOTO : SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

"Beliau bukan sahaja penerbit, tetapi juga seorang pendidik bangsa yang menjadikan dunia penerbitan sebagai medium dakwah dan pembangunan minda rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, buku setebal kira-kira 300 muka surat itu bersifat penceritaan bebas namun tetap teratur, dan memberi panduan berguna kepada masyarakat terutama dalam aspek kepimpinan, keusahawanan serta penglibatan dalam dunia ilmu.

Buku itu turut memuatkan kata pengantar istimewa daripada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, yang memberi komitmen untuk terlibat dalam projek penerbitan tersebut.

Pada majlis sama, turut dilancarkan buku Old Money New Money hasil tulisan bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Sementara itu, Hussamuddin dalam ucapannya menegaskan bahawa keusahawanan merupakan landasan terbaik untuk membina kekayaan yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Penasihat Karangkraf itu berkata, kerjaya profesional seperti jurutera, doktor atau penjawat awam mampu memberikan kehidupan yang selesa, namun untuk mencapai kekayaan luar biasa, seseorang perlu melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

"Kalau mahu hidup senang, jadilah pegawai kerajaan atau profesional. Tapi kalau nak kaya raya dan boleh wariskan kekayaan kepada anak-anak, kena berniaga. Kita boleh cipta legasi dan transformasi kekayaan itu dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Menurutnya, Karangkraf sendiri bermula secara kecil-kecilan, namun berkembang hasil prinsip kerja berasaskan ilmu, keberanian mengambil risiko serta kemampuan membaca tren dan perubahan keperluan masyarakat.

"Dalam perniagaan, kita mesti sediakan produk atau perkhidmatan yang orang perlukan pada masa itu. Dulu orang ke masjid pakai kain pelikat, sekarang pakai seluar solat. Jadi kita perlu ikut perubahan untuk kekal relevan,” ujarnya.