SINGAPURA - Seorang pengguna e-hailing mencetuskan perbincangan hangat di platform Reddit baru-baru ini selepas memuat naik mesej daripada seorang pemandu yang didakwa mengenakan caj premium sekiranya penumpang melaras kerusi atau pendingin hawa tanpa kebenaran.
Tangkap layar mesej tersebut dimuat naik dalam subreddit r/Singapore pada Jumaat, yang menyatakan penumpang tidak dibenarkan melaras tempat duduk atau suis penyaman udara tanpa keizinan pemandu, dan tindakan itu kononnya akan dikenakan bayaran tambahan.
Ramai warganet tampil memberikan pendapat, menyatakan bahawa mesej tersebut bukan daripada pihak syarikat e-hailing yang beroperasi di Singapura, sebaliknya ditulis sendiri oleh pemandu terbabit berdasarkan gaya penulisan yang tidak rasmi.
Seorang pengguna Reddit mendakwa pemandu itu mungkin sengaja mengambil tempahan biasa yang lebih murah, kemudian bertindak mengenakan caj tambahan kepada penumpang secara tidak sah.
Ada yang menyarankan agar pengguna membatalkan perjalanan tersebut atau memberikan penilaian bintang rendah kepada pemandu berkenaan.
Namun begitu, terdapat juga netizen yang mempertahankan pemandu terbabit dengan menyatakan bahawa kereta tersebut adalah miliknya, maka dia berhak menetapkan peraturan tertentu.
Walaubagaimanapun, pandangan itu dibalas oleh pengguna lain yang menegaskan bahawa larangan sebegitu hanya wajar dikenakan untuk tindakan melampau, contohnya membawa durian ke dalam kenderaan.
Seorang lagi pengguna Reddit turut memetik kod etika e-hailing yang menyatakan bahawa pemandu harus bersikap sopan dan melayan permintaan munasabah penumpang seperti melaras suhu penyaman udara atau kelantangan radio.
Keesokannya, pengguna Reddit terbabit memuat naik kemas kini selepas mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan.
Menurutnya, pihak berkenaan mengesahkan mesej tersebut memang dihantar oleh pemandu itu sendiri dan bukan daripada syarikat.
Mereka turut menegaskan bahawa pemandu tidak dibenarkan mengenakan caj tambahan secara sesuka hati di tengah perjalanan, dan pendekatan pemandu tersebut tidak selari dengan polisi perkhidmatan pelanggan syarikat.
Insiden itu mencetuskan peringatan kepada pengguna agar lebih peka terhadap hak mereka sebagai pelanggan, dan kepada pemandu supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. – Agensi