KOTA BHARU – Peralatan elektrik dan pendawaian dikenal pasti sebagai faktor utama penyumbang kebakaran merangkumi 77 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2023 dan 2024.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Farhan Sufian Borhan berkata, sebanyak 821 kes kebakaran dicatatkan tahun lalu dan daripada jumlah itu, 634 kes berpunca daripada peralatan elektrik atau pendawaian.
"Selain itu, 84 kes atau 10 peratus membabitkan peralatan gas, manakala 42 kes atau tiga peratus disebabkan api berbara,” katanya.
Tambah beliau, pada 2023 pula, sebanyak 689 kes kebakaran direkodkan dan 537 daripadanya dikenal pasti berpunca daripada peralatan elektrik atau pendawaian.
"Sebanyak 84 kes atau 12 peratus membabitkan peralatan gas manakala 46 kes atau 6.7 peratus disebabkan bara api,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Mei Tahun 2025 JBPM Kelantan pada Isnin.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya memberi perhatian serius terhadap penggunaan peralatan elektrik yang diluluskan pihak berkuasa dan memastikan sistem pendawaian sentiasa disenggara dengan baik.
"Orang ramai juga digalakkan memeriksa sistem pendawaian sekiranya rumah berusia lebih 10 tahun,” katanya.
Beliau menambah, berdasarkan pengalaman pihaknya, banyak kebakaran membabitkan rumah kayu yang mudah terbakar terutama apabila sistem pendawaian tidak diselenggara atau ditambah baik.
Dalam perkembangan lain, Farhan turut mengingatkan pemilik kediaman memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih bagi mengelakkan kehadiran haiwan berbisa susulan cuaca panas melampau.
"Haiwan seperti kala jengking dan ular akan mencari tempat perlindungan bagi mengelakkan kepanasan. Oleh itu, pastikan penjagaan kebersihan di dalam dan sekitar rumah sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, panggilan kecemasan turut meningkat, terutama dari kawasan kampung yang mempunyai persekitaran lembap dan sejuk.
Terdahulu, Farhan turut menyampaikan bendera kepada pasukan ragbi Kelantan, The Red Muntjac yang akan bertanding di Pulau Pinang.