Isu sampah haram: Johor bentang pelan tindakan radikal

Iklan
ONN HAFIZ

ISKANDAR PUTERI – Pendekatan yang lebih radikal dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar negeri ini terus terpelihara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan sedia ada dalam menangani isu pembuangan sampah haram yang semakin membimbangkan.

Iklan
Iklan

"Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini jelas menunjukkan keprihatinan baginda terhadap isu pencemaran sungai. Ia isyarat bahawa tindakan lebih drastik tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Isnin.

Iklan

Menurut Onn Hafiz, antara langkah yang dicadangkan ialah menaikkan kadar kompaun minimum serta menggubal undang-undang baharu yang lebih relevan dan ketat.

"Kerajaan negeri juga bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Pembuangan Sampah Haram yang akan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama.

Iklan

"Pertama, memperkukuh penguatkuasaan dan menyemak semula undang-undang kecil yang lapuk; kedua, memperluas pendidikan sivik serta kempen kesedaran awam; dan ketiga, memperkenalkan sistem pemantauan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di kawasan panas,” ujarnya.

Pada 16 Mei lalu, semasa titah perasmian pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor, Tunku Mahkota Ismail telah menitahkan supaya undang-undang ‘sangat tegas’ dikenakan terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai atau di mana-mana lokasi di negeri ini.

Baginda turut menzahirkan kekesalan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu sehingga membebankan kerajaan negeri yang terpaksa menggunakan wang rakyat untuk kerja-kerja pembersihan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menjelaskan statistik 2024 menunjukkan sebanyak 2,206 kes pembuangan sampah direkodkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM654,210, manakala sehingga April 2025 pula sebanyak 634 kes dikenakan kompaun berjumlah RM202,700.

"Walaupun Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) menyediakan peruntukan hukuman, perundangan ini perlu diperhalusi semula.

"Bandingkan dengan Singapura yang mengenakan denda antara SGD2,000 hingga SGD50,000, kerja pembersihan awam (Corrective Work Order), serta pendedahan awam (‘Name & Shame’). Korea Selatan pula mengenakan denda hingga KRW100 juta dan penjara tujuh tahun, manakala Jepun memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa melalui undang-undang khas alam sekitar,” katanya.

Untuk rekod, pada 9 Mei lalu, dua lelaki dirakam membuang sampah dari lori ke dalam sungai di Taman Sri Plentong, Pasir Gudang, dalam video berdurasi dua minit 11 saat yang tular di media sosial.

Syarikat terlibat dikenakan kompaun RM1,000, namun tindakan tersebut mengundang kecaman orang ramai kerana dianggap terlalu ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.