Amorim mohon maaf, janji kebangkitan United

Iklan
Amorim

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil memohon maaf secara terbuka kepada penyokong The Red Devils susulan prestasi hambar pasukan itu sepanjang musim ini yang disifatkannya antara musim paling buruk dalam sejarah kelab.

Dalam ucapan selepas kemenangan ke atas Aston Villa pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), Amorim turut merakamkan penghargaan kepada penyokong di Old Trafford yang terus setia bersama pasukan meskipun mereka mengalami detik sukar termasuk kekalahan kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa.

"Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas musim ini. Saya tahu anda semua sangat kecewa dengan saya dan juga dengan pasukan.

Iklan
Iklan

"Kedua, saya ingin mengucapkan terima kasih. Kami amat menghargai sokongan anda sepanjang musim ini. Saya tahu bukan mudah untuk terus menyokong kami dalam banyak perlawanan, tetapi kini kita perlu memilih – sama ada terus terperangkap dalam masa lalu atau bergerak ke hadapan,” katanya.

Manchester United menamatkan kempen EPL musim ini di tangga ke-15 daripada 20 pasukan, selepas mengumpul 42 mata hasil 11 kemenangan, sembilan seri dan 18 kekalahan daripada 38 perlawanan.

Iklan

Amorim turut mengimbas kembali amaran awalnya ketika baru mengambil alih pasukan daripada Erik ten Hag, selepas tiga perlawanan pertama mencatat dua kemenangan dan satu seri.

"Enam bulan lalu, saya katakan bahawa ribut sedang mendatang,” ujarnya.

Iklan

Namun, pengendali kelahiran Portugal itu kini membawa mesej harapan dan berjanji akan membawa sinar baharu buat Manchester United pada musim depan.

"Selepas musim yang mengecewakan ini, saya ingin menyatakan bahawa hari-hari indah akan tiba. Jika ada satu kelab dalam dunia yang terbukti mampu mengatasi segala dugaan dan bencana, ia adalah kelab kita, Manchester United,” katanya.

Bekas pengendali Sporting Lisbon itu turut memohon maaf kepada barisan pemainnya atas sebarang ketidakadilan yang mungkin berlaku sepanjang musim.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada para pemain. Mungkin kadangkala saya tidak berlaku adil, tetapi saya sentiasa cuba bersikap jujur. Terima kasih semua, jumpa musim depan,” katanya.