Nurul Izzah di titik genting, antara pertalian darah dan amanah

Iklan
Nurul Izzah

BELUM pun sempat meraikan sepenuhnya kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kini berdepan satu lagi cabaran iaitu menunaikan janjinya untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kedudukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ia susulan desakan yang dibuat beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) supaya bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menunaikan segera janji yang dibuat ketika tempoh kempen Pemilihan PKR sebelum ini.

Iklan
Iklan

Sebagai anak kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah berada dalam kedudukan yang amat unik antara darah dan amanah, di mana beliau bukan sekadar pemimpin politik biasa, tetapi juga pewaris simbolik kepada semangat reformasi yang digerakkan oleh ayahnya sendiri.

Sebelum ini, kenyataan awal Timbalan Presiden PKR bahawa pelantikan semula Azam Baki adalah sesuatu yang"tidak dialu-alukan” disambut dengan harapan.

Iklan

Ia dilihat sebagai isyarat awal bahawa suara reformasi masih ada dalam kerajaan perpaduan dan terdapat tokoh dalamnya yang berani menegur keputusan yang diragui rakyat.

Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, aktivis mahasiswa dan pemerhati politik tampil mengingatkan kembali janji yang pernah diucapkan.

Iklan

Mereka tidak meminta sesuatu yang di luar kemampuan, tetapi cuma mahu melihat keberanian dan konsistensi dalam perjuangan.

Jika benar pelantikan Azam tidak selari dengan aspirasi reformasi, maka sewajarnya ada langkah untuk membetulkan keadaan, bukan sekadar membiarkannya berlalu begitu sahaja.

Justeru, ujian sebenar Nurul Izzah kini bukan lagi dalam dewan atau forum ilmiah kerana ia berada dalam ruang paling mencabar apabila melibatkan keluarga sendiri.

Persoalannya, sanggupkah seorang anak reformis menegur ayahnya demi rakyat? Sanggupkah juga seorang tokoh muda yang pernah melaungkan integriti dan pembaharuan menzahirkan prinsip itu ketika ia benar-benar diperlukan?

Inilah momen penentuan sama ada beliau mampu membuktikan bahawa prinsip lebih utama daripada pertalian darah, dan amanah rakyat lebih berat daripada kesetiaan peribadi.

Selain itu, perjuangan reformasi juga bukan sekadar warisan tetapi satu tanggungjawab yang mesti ditunaikan dengan tindakan, bukan hanya kenyataan.

Sekiranya reformasi itu benar-benar mahu ditegakkan, maka ia mesti bermula dengan keberanian menegur yang di atas, bukan hanya bersuara bila selamat.