Kerjasama ASEAN-GCC jadi jambatan hubungkan Asia Tenggara-Timur Tengah

Iklan
Enrique A Manalo. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan peluang berharga untuk memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan Timur Tengah dalam usaha bersama ke arah keamanan, kemakmuran dan kemajuan, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique A Manalo.

Dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-GCC, Enrique menekankan potensi strategik kedua-dua blok serantau itu, dengan menyatakan bahawa ASEAN mempunyai gabungan populasi melebihi 700 juta dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi global menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektifnya.

Iklan
Iklan

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap dialog yang sedang berlangsung dan berkata, ASEAN menantikan perbincangan yang produktif serta hasil yang konkrit daripada mesyuarat ini.

"Kita kenang kembali penganjuran bersejarah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama di Riyadh pada Oktober 2023, di mana para pemimpin kita mengeluarkan kenyataan bersama yang menjadi asas kepada usaha mempertingkat dan memperluas kerjasama ASEAN-GCC.

Iklan

"Pada sidang itu juga, para pemimpin menyambut baik Kerangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024 - 2028 yang menggariskan langkah-langkah konkrit dan aktiviti bersama untuk memperdalam kerjasama dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-GCC pada Ahad yang dipengerusikan oleh Filipina merupakan sebahagian daripada siri mesyuarat yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Iklan

Sembilan menteri luar dari negara anggota ASEAN (kecuali Myanmar) dan enam negara GCC - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) - menyertai mesyuarat itu.

Manalo turut menyoroti Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan diterima pakai oleh para pemimpin rantau ini esok sebagai satu kenyataan berani tentang cita-cita bersama untuk membina ASEAN yang lebih berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh dalam tempoh dua dekad akan datang.

"Rantau ini mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.8 peratus dan dijangka mencapai 4.7 peratus tahun ini. Namun, perkembangan luar terkini termasuk pengenalan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat telah menimbulkan kebimbangan besar.

"Sebagai tindak balas kepada cabaran ini, ASEAN mengamalkan pendekatan yang mengutamakan dialog membina dan menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitannya yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, termasuk hal ehwal politik dan keselamatan.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sempena sidang kemuncak ini, dua mesyuarat peringkat tinggi penting turut diadakan - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan - sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau. - Bernama


Filipina gesa peranan lebih tegas ASEAN tangani persaingan kuasa besar

KUALA LUMPUR - Filipina melihat ASEAN sebagai platform penting untuk memelihara kestabilan serantau dan mengelakkan Asia Tenggara daripada terjerumus dalam persaingan kuasa besar yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China.

Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo menegaskan ASEAN perlu mengekalkan kepusatannya sebagai pemudah cara dan kuasa penstabil ketika ketegangan antara dua kuasa itu terus memuncak dalam aspek keselamatan dan ekonomi.

"Kami percaya, sekurang-kurangnya bagi Filipina, negara-negara di rantau ini, khususnya kuasa sederhana dan kecil, mempunyai agensi sendiri.

"Kita bertanggungjawab menentukan masa depan kita, masa depan rakyat kita, dan masa depan rantau ini tidak seharusnya ditentukan oleh kuasa besar," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Reuters sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Manalo mengakui kerumitan landskap geopolitik semasa, namun menegaskan kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya mewujudkan dialog dalam kalangan kuasa besar.

Manalo turut menekankan peranan ASEAN sebagai pemudah cara dan mengusahakan rundingan dalam kalangan kuasa serantau, menyediakan platform dialog untuk mengurus ketegangan dan memupuk kestabilan.

Beliau berkata, penerimaan Visi ASEAN pada sidang kemuncak ini akan memperkukuh kerjasama dan integrasi, membolehkan negara anggota membentuk masa depan bersama secara lebih berkesan.

Mengenai hubungan dengan Amerika Syarikat susulan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden, Manalo berkata, hubungan kedua-dua negara kekal kukuh dan stabil, diperkukuh oleh kerjasama keselamatan dan ekonomi.

"Kami telah mengesahkan semula komitmen... bukan sahaja dalam aspek keselamatan, tetapi terutamanya menerusi kerjasama ekonomi. Hubungan dengan AS berada pada landasan yang sangat positif," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa Kedutaan Filipina di Manila dan Washington sedang menyelaras kemungkinan pertemuan antara Presiden Ferdinand Marcos Jr dan Presiden Trump.

Mengenai isu Laut China Selatan, Manalo menegaskan strategi pelbagai saluran Filipina yang merangkumi diplomasi dua hala, tiga hala dan serantau, serta penekanan terhadap usaha menggubal Kod Tatalaku (COC) yang mengikat dan substantif berlandaskan undang-undang antarabangsa.

"Filipina kini lebih bertekad untuk mempercepat rundingan COC. Pada pandangan kami, ia perlu berkesan, substantif dan berasaskan UNCLOS," katanya.

Beliau menekankan bahawa COC harus membantu mengurus ketegangan, menyelesaikan pertikaian, dan menetapkan tingkah laku yang boleh diterima dalam kalangan negara yang menuntut kawasan, selaras dengan komitmen negara itu kepada penyelesaian pertikaian secara aman.

Mengulas isu Second Thomas Shoal, lokasi pos ketenteraan Filipina bagi menegakkan kedaulatan di tengah tekanan China, Manalo mengesahkan bahawa persefahaman sementara dengan Beijing masih berkuat kuasa.

Beliau berkata, meskipun Filipina mengutamakan penyelesaian diplomatik, sebarang aturan di masa depan di kawasan seperti Terumbu Sabina dan Scarborough akan bergantung kepada perkembangan semasa.

Manalo turut menegaskan strategi diplomatik Filipina yang merangkumi penghantaran bantahan rasmi serta menggunakan mekanisme dialog ASEAN untuk menangani isu maritim.

Mengenai saluran komunikasi Filipina-China, beliau memaklumkan bahawa walaupun perbincangan telah berlangsung, talian utama yang beroperasi sepenuhnya masih belum diwujudkan.

"Kita pernah ada talian utama di peringkat kementerian luar. Saya difahamkan Pengawal Pantai juga sedang mempertimbangkan talian utama tertentu," katanya.

Beliau berkata, walaupun talian utama mungkin membantu, ia bukan satu-satunya penyelesaian kerana saluran lain seperti nota diplomatik, surat rasmi dan hubungan antara duta masih digunakan.

Sidang ini turut berlangsung seiring dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, mencerminkan komitmen ASEAN yang semakin meningkat terhadap kerjasama antara rantau dalam untuk daya ekonomi, keselamatan tenaga dan perubahan iklim. - Bernama