PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan semua pihak berkepentingan utama di Myanmar untuk terlibat secara langsung dengan pemimpin ASEAN menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam usaha menyelesaikan konflik berlarutan di negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam temu bual bersama media ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Anwar berkata, mesyuarat terbaharu di Bangkok yang melibatkan Troika ASEAN dan Menteri Luar Myanmar, U Than Shwe mencerminkan perubahan sikap, khususnya daripada pihak junta tentera.
"Saya fikir kita perlu beri penghargaan kepada kerana secara umum, telah berlaku gencatan senjata, dan pergerakan bantuan kemanusiaan contohnya, telah berjalan lancar tanpa gangguan, termasuk ke kawasan-kawasan lain.
"Yang penting ialah mereka membenarkan atau bertolak ansur dengan perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini, misalnya saya sendiri dapat bertemu dengan mereka. Kami juga meminta Troika hadir, dan mereka semua datang. Saya fikir itu adalah permulaan yang baik kerana dalam isu-isu penuh pertikaian seperti ini, penyelesaian konflik mesti dimulakan dengan libat urus,” kata beliau.
Anwar berkata beliau turut menggesa rakan sejawatannya di Brunei, Indonesia, Vietnam dan Kemboja untuk mengadakan pendekatan melalui pelbagai saluran seperti ketenteraan dan diplomatik, dengan matlamat mencapai gencatan senjata sepenuhnya serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Semalam, Menteri Luar ASEAN memuji kepimpinan proaktif Malaysia dalam menghidupkan kembali usaha pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta memudahcara dialog konstruktif bagi menangani krisis berterusan di Myanmar.
Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan dialog berasingan dengan pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing, dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pembangkang, yang dianggap sebagai langkah penting ke arah membina libat urus langsung antara pihak-pihak yang bertelagah.
Langkah tersebut dilihat sebagai satu kemungkinan kejayaan penting dalam usaha mediasi ASEAN.
Konsensus yang diluluskan oleh ASEAN pada April 2021 susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 1 Februari tahun tersebut.
Ia menuntut pengakhiran segera keganasan, dialog inklusif antara semua pihak, pelantikan utusan khas, penghantaran bantuan kemanusiaan, serta memberi akses penuh kepada utusan khas tersebut untuk berjumpa dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Namun begitu, pelaksanaan konsensus tersebut sebahagian besarnya terbantut akibat ketidakpatuhan berterusan junta tentera, menjadikan isu ini sebagai tumpuan utama dalam penglibatan berterusan ASEAN dengan Myanmar.
Mengenai situasi di Gaza, Anwar menyuarakan sokongan terhadap pendekatan pelbagai hala dalam usaha pembinaan semula, mencadangkan agar ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China bekerjasama sebagai alternatif kepada pelan yang dipacu Amerika Syarikat.
Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha pembinaan semula mesti mencerminkan kehendak dan aspirasi rakyat Palestin.
"Cadangan awal Amerika Syarikat untuk mengasingkan Gaza sebagai entiti berasingan adalah tidak boleh diterima. Anda tidak boleh membina semula tanpa kehendak rakyat," katanya.
Anwar juga menegaskan pendirian tegas Malaysia mengenai isu Palestin serta menyatakan wujudnya konsensus yang semakin kukuh dalam kalangan ASEAN untuk gencatan senjata segera, kecaman terhadap kekejaman, dan penghormatan terhadap hak asasi manusia.
"Di Myanmar, walaupun di bawah pemerintahan tentera, bantuan sampai, tetapi di Gaza penafian terhadap makanan asas dan ubat-ubatan dibiarkan berterusan. Itu adalah sesuatu yang merendahkan martabat kemanusiaan," katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. - Bernama