Kanak-kanak ramai, pengasuh tidak cukup

Iklan
Che Murad menunjukkan Plak Taska Berdaftar yang dilancarkan pada Januari lalu bagi memastikan masyarakat dapat mengetahui sama ada sesebuah taska itu berdaftar atau sebaliknya. Foto Sinar Harian-HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - Mengambil kanak-kanak melebihi keluasan ruang penjagaan merupakan kesalahan sering dilakukan oleh pihak pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tidak berdaftar yang dikenal pasti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malah, pengasuh yang disediakan juga tidak mencukupi dan tiada kemahiran untuk menjaga kanak-kanak dan sekali gus mengundang risiko keselamatan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kebanyakan taska yang beroperasi secara tidak berdaftar akan beroperasi mengikut kehendak pengusaha sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang dijaga.

Che Murad

Menurutnya, antara modus operandi premis tidak berdaftar ialah tidak mematuhi syarat minimum yang ditetapkan oleh JKM, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

"Premis yang digunakan juga didapati tidak mematuhi aspek keselamatan yang telah ditetapkan seperti kesesuaian bangunan, tiada kamera litar tertutup (CCTV) serta kemudahan tangga keselamatan, jalan keluar atau pintu kecemasan yang sesuai dan tidak menyediakan alat pencegah kebakaran.

"Perkara seumpama ini sangat merisaukan pihak berkuasa terutama JKM yang berusaha bertindak melindungi golongan kanak-kanak berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan

"Kita di JKM sangat berharap agar semua pihak yang mengendalikan taska untuk mendaftar, sekali gus memastikan semua keperluan disediakan sebaiknya untuk keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sangat penting buat ibu bapa untuk memastikan taska yang dipilih berdaftar secara sah.

Tambahnya, pada Januari lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan Plak Taska Berdaftar bagi memastikan masyarakat dapat mengetahui sama ada sesebuah taska itu berdaftar atau sebaliknya.

Menurut beliau, menerusi plak khas yang mempunyai kod QR, pengusaha dan tempoh perakuan akan diletakkan di premis taska seterusnya membantu ibu bapa membuat penilaian tepat dalam menempatkan anak-anak di taska terbaik.

"Ini kerana semua taska berdaftar dengan JKM akan mengajikan pengasuh yang telah lulus ujian peperiksaan, mendapat latihan kemahiran dan didedahkan dengan berhadapan situasi kecemasan secara tenang menerusi latihan praktikal oleh agensi pengendali latihan.

"Tugas pengasuh untuk menjaga serta memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak di taska adalah perkara penting, terutama dalam membentuk sebuah generasi pemimpin terbaik di masa hadapan,” ujarnya.

Che Murad berkata, cabaran sering timbul dalam kalangan pengusaha taska tidak berdaftar ialah kesukaran memenuhi syarat pendaftaran yang ditetapkan.

"Kesalahan lain yang sering dilakukan ialah mengambil kanak-kanak melebihi dari keluasan ruang penjagaan, pengasuh tidak mencukupi serta tidak berkemahiran,” katanya.

Jelas beliau, pengusaha taska yang beroperasi secara tidak sah akan dikenakan tindakan penguatkuasaan boleh diambil berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) iaitu LAK, kompaun dan dakwa.

Tegasnya, premis yang berdegil untuk tidak mendaftar boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Bagaimanapun katanya, sehingga Mac lalu, terdapat 3,266 taska yang telah berdaftar dengan JKM dan mematuhi syarat ditetapkan Akta 308, Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 serta garis panduan yang berkuat kuasa.

Elak dera, eksploitasi

Che Murad berkata, antara peranan dan tugas JKM ialah melindungi kanak-kanak daripada penderaan, pengabaian serta eksploitasi.

Menurut beliau, selain menjalankan siasatan dan intervensi berhubung kes dilaporkan, JKM juga menyediakan penempatan selamat atau rumah perlindungan kepada mangsa.

Gagal mendaftar premis yang dijadikan pusat jagaan kanak-kanak, sebuah taska disita pihak penguatkuasaan JKM. Foto JKM.

Jelasnya, JKM bertanggungjawab memastikan kesejahteraan golongan seperti kanak-kanak terbiar atau didera mendapat pembelaan sewajarnya.

"Ibu bapa disarankan menghantar anak ke taska berdaftar kerana pengusaha terbabit wajib mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Akta 308 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

"Contohnya taska berdaftar wajib memasang CCTV (kamera litar tertutup) bagi tujuan pemantauan pengoperasian.

"Selain itu, Seksyen 29 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan kewajipan pengasuh memaklumkan kepada JKM sekiranya berlaku kejadian penderaan, sama ada daripada segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai atau sebagainya,” ujar beliau.

Ditanya mengenai pengalaman JKM dalam kes pengabaian kanak-kanak, Che Murad berkata, pihaknya terlibat dalam Op Global bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan operasi menyelamat kanak-kanak di rumah-rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

"Ia merupakan sebahagian tugas JKM iaitu bertanggungjawab menyelamatkan kanak-kanak dan menjalankan operasi tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan tidak berdaftar,” ujarnya.

Beliau berkata, pengasuh disyaki terlibat dalam kes penderaan akan disiasat polis di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, sebarang aduan yang diterima JKM akan disemak dan diambil tindakan dengan serta-merta.

Jelasnya, sekiranya kanak-kanak didapati memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tujuan pemeriksaan serta rawatan.

Tambah beliau, Pelindung Kanak-Kanak akan mengenal pasti penempatan sementara dan membawa kanak-kanak ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara.

"Penempatan sementara kanak-kanak adalah sama ada dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) atau di tempat selamat.

"Bagi kanak-kanak yang akan ditempatkan dalam jagaan OYLS, Mesyuarat Panel Penempatan Kanak-Kanak kepada OYLS Peringkat Negeri akan bersidang untuk memutuskan calon OYLS berdasarkan hasil siasatan pelindung,” ujarnya.

INFO

(A) Statistik kes kematian kanak-kanak di taska tidak berdaftar

Tahun 2023 – 1 kes

Tahun 2024 – 4 kes

(B) Statistik kes penderaan kanak-kanak di taska

Tahun 2023 – 14 kes

Tahun 2024 – 6 kes

(C) Jumlah aduan di taska

Tahun 2020 – 2 kes

Tahun 2021 – 7 kes

Tahun 2022 – 5 kes

Tahun 2023 – 14 kes

Tahun 2024 – 8 kes