KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia pada Ahad ini bagi memperkukuh kerjasama strategik menyeluruh serta mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, lawatan itu berlangsung menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN–China yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di ibu negara.
Ini merupakan lawatan pertama Chinh ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021. Beliau akan diiringi isterinya, Le Thi Bich Tran, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Bui Thanh Son, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan Vietnam.
Chinh akan diberikan sambutan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin.
Menurut Kementerian Luar, mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dua hala sedia ada, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh baharu, pelancongan serta teknologi digital.
"Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan secara mendalam mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan terhadap peranan strategik ASEAN sebagai platform bersepadu dan responsif dalam menangani isu bersama, khususnya dalam situasi geopolitik dan geoekonomi yang semakin mencabar,” menurut kenyataan itu.
ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema"Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia dan Vietnam telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024.
Pada tahun yang sama, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah dagangan dua hala Malaysia–Vietnam mencecah RM83.11 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion, manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.
Sehingga kini, syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan kumulatif melebihi AS$13 bilion. - Bernama