ALOR SETAR –"Tolong jangan halau saya.”
Itu rayuan sayu seorang wanita sambil mendukung bayinya, ketika ditemui dalam keadaan cemas dan kebingungan di belakang rumah Setiausaha Surau Madrasatul Huda, Lorong Nyior Setali, di sini, pada malam Khamis.
Setiausaha surau berkenaan, Shamsul Anuar Aziz, 44, menceritakan semula detik mengharukan itu selepas video kejadian yang dikongsi di TikTok tular dan meraih perhatian.
Menurutnya, kejadian berlaku sejurus jemaah selesai menunaikan solat Maghrib di surau tersebut.
"Saya melihat seorang wanita India mendukung bayi sambil berjalan perlahan di hadapan surau. Wajahnya kelihatan ketakutan, seperti sedang menghadapi masalah besar,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tidak lama kemudian, beliau menerima panggilan daripada sepupunya yang memaklumkan terdapat seorang wanita bersama bayi bersembunyi di kawasan gelap berhampiran rumahnya.
Shamsul Anuar bersama beberapa jemaah segera ke lokasi dan mendapati wanita itu sedang berselubung dan bersembunyi di belakang sebuah kereta.
"Apabila saya menegur, dia kelihatan ingin melarikan diri. Namun dengan suara perlahan, dia hanya berkata, ‘tolong jangan halau saya.’ Hati saya terus sebak,” ujarnya.
Selepas dipujuk, wanita berusia awal 20-an itu akhirnya bersetuju untuk ke surau bagi mendapatkan tempat yang lebih selamat.
"Dia kelihatan sangat lemah. Kami cuba menenangkannya dan selepas beberapa ketika, dia mula berkongsi kisah hidupnya,” katanya.
Menurut wanita itu, dia sebelum ini menumpang di rumah rakannya namun terpaksa keluar kerana menghadapi masalah kewangan.
Lebih menyedihkan, suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara, menyebabkan dia tidak mempunyai tempat berteduh bersama bayi kecilnya.
Tersentuh dengan nasib wanita tersebut, Shamsul Anuar bersama jemaah lain membelikannya susu, lampin pakai buang serta menyediakan tempat untuk berehat sementara di surau.
Mereka kemudian membantu wanita itu menghubungi abangnya di Pulau Pinang, dan membelikannya tiket ETS agar dia dapat bertemu keluarganya.
"Saya hanya mahu memastikan dia dan bayinya selamat. Ini bukan soal bangsa atau agama, tetapi soal kemanusiaan,” ujarnya.
Shamsul Anuar turut meluahkan rasa syukur kerana wanita itu akhirnya berjaya menaiki ETS dengan selamat dan sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantunya.
"Kami hanya mahu membantu seikhlas hati. Semoga dia dan anaknya memperoleh kehidupan yang lebih baik selepas ini,” tambahnya lagi.