Malaysia peruntuk RM3 bilion untuk projek Sungai Golok

Iklan
Malaysia memperuntukkan kira-kira RM3 bilion bagi Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok, sebuah inisiatif strategik rentas sempadan bersama Thailand yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, melindungi komuniti setempat, dan memperkukuh keselamatan negara. Gambar hiasan

BANGKOK – Malaysia memperuntukkan kira-kira RM3 bilion bagi Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok, sebuah inisiatif strategik rentas sempadan bersama Thailand yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, melindungi komuniti setempat, dan memperkukuh keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah memulakan pelbagai langkah komprehensif sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Thailand.

Iklan
Iklan

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan pembiayaan projek tersebut termasuk program tebatan banjir dan pembinaan tembok keselamatan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dianggarkan bernilai sekitar RM3 bilion.

"Kita telah memaklumkan kepada kerajaan Thailand bahawa Malaysia telah meluluskan lokasi bagi kerja-kerja pengorekan muara sungai, dan pada masa yang sama melaksanakan penambahbaikan di Sungai Golok termasuk pembinaan tembok sungai.

Iklan

"Ini bukan sekadar inisiatif tebatan banjir, malah merupakan langkah keselamatan negara.

"Projek ini akan menangani isu banjir secara menyeluruh, dan apabila siap kelak, ia dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir serta kerugian melibatkan harta benda, aset, dan mata pencarian bukan sahaja bagi penduduk setempat, tetapi juga sektor perniagaan dan infrastruktur kerajaan,” katanya kepada Bernama di akhir lawatan kerja empat hari beliau ke Thailand pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, sebahagian projek masih menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa Thailand, dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa tiga tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) telah melengkapkan kajian kebolehlaksanaan bagi menaik taraf kemudahan sambungan grid kuasa antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, sambungan grid yang dibina pada awal 2000-an kini semakin usang dan memerlukan penaiktarafan, sejajar dengan komitmen kedua-dua negara untuk mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui dalam sistem grid masing-masing.

"Penaiktarafan ini akan membolehkan pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan dilakukan dengan lebih cekap dan selamat, serta menjadi asas kepada perdagangan tenaga pelbagai hala di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG),” jelas beliau.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas layanan mesra sepanjang lawatan, yang menurutnya membuka ruang penting untuk membincangkan pelbagai projek antara kerajaan.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat, Prasert Jantararuangtong, yang juga Pengerusi Lembaga Alam Sekitar Kebangsaan, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Pirapan Salirathavibhaga.

Beliau turut bertemu Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Narumon Pinyosinwat. – Bernama