'Dari hampir gagal ke tokoh sekolah' - Ini kisah Srikandi SMKA Naim Lilbanat

Iklan
Nor Hannan Nadhirah (tengah) menerima anugerah yang disampikan Mohd Fauzan (kanan) sambil diiringi Ab Raisham (dua dari kanan).

KOTA BHARU – Bukan sekadar untuk meraih simpati, tetapi dengan harapan agar kisah kesedihan hidupnya menjadi inspirasi kepada orang lain.

Itulah hasrat seorang remaja berusia 18 tahun, Nor Hannan Nadhirah Nor Azlam, yang pernah ‘rebah’ dan hampir berputus asa selepas kehilangan bapa tercinta ketika sedang meniti usia remaja.

Iklan
Iklan

Kini, Nor Hannan Nadhirah berdiri megah apabila menerima anugerah Tokoh Srikandi Fatimah Azzahra 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan Arab (SMKA) Naim Lilbanat atas kejayaan cemerlang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, kejayaan tersebut bukanlah hasil daripada suasana belajar yang selesa atau waktu ulang kaji yang panjang.

Iklan

Sebaliknya, ia lahir daripada malam-malam tanpa tidur menjaga adik-adik kecil, air mata dalam diam melihat ibunya, Nik Rohaya Nik Soh, 45, membanting tulang sebagai guru, serta kesedihan mendalam akibat kehilangan bapanya, Nor Azlam Ab Rahman, 44, yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 8 Ogos tahun lalu.

Nor Hannan Nadhirah (kiri) bertemu dengan Mustaffa.

"Tiga bulan sebelum SPM, bapa saya meninggal dunia. Dua hari saya menangis tanpa henti sehinggalah hari kedua jenazah tiba di Kota Bharu dari Selangor, tempat bapa bekerja.

Iklan

"Ibu saudara memujuk saya dan mengajak melihat wajah jenazah. Ketika itu saya nampak bapa seolah-olah tersenyum, dan saya terus berhenti menangis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Majlis Graduasi SMKA Naim Lilbanat di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Mohd Fauzan Mohamed Mokhtar yang merasmikan majlis.

Sebelum pemergian arwah bapanya, kehidupan Nor Hannan Nadhirah sudah pun terumbang-ambing apabila terpaksa berpisah dengan ayahnya yang bertugas sebagai guru di Selangor.

Bermula dari Tingkatan Tiga, Nor Hannan Nadhirah kerap ponteng sekolah kerana perlu menjaga tiga orang adik yang masih kecil, sementara ibunya yang juga menghidap tekanan darah tinggi keluar bekerja sebagai guru.

"Saya terpaksa tidak ke sekolah sebab jaga adik. Dalam seminggu atau sebulan, mesti ada ponteng,” katanya.

Namun, berkat keprihatinan pihak sekolah, terutama bekas pengetua Mustaffa Chik semasa dia berada di Tingkatan Empat, Nor Hannan Nadhirah akhirnya ditempatkan di asrama.

Di sinilah dia mula menerima takdir dan mengorak langkah untuk bangkit semula.

Guru-guru turut memainkan peranan penting dengan menyediakan keperluan asas serta sokongan emosi.

Kesemua bekas pelajar yang hadir ke majlis graduasi pada Sabtu.

Setiap kata semangat daripada mereka menjadi pembakar semangat untuk mengatasi kesedihan.

Nor Hannan Nadhirah mula memberi fokus semula dalam pelajaran, mengingati pesanan arwah bapanya agar menjadi insan berjaya sebagai kekuatan untuk tidak berpatah semula ke belakang.

Dari seorang pelajar yang hampir gagal, dia bangkit menjadi kebanggaan sekolah, malah bercita-cita untuk menjadi guru Matematik Tambahan.

"Saya mahu berjaya untuk bantu adik-adik. Kejayaan ini saya hadiahkan buat ibu bapa dan guru-guru saya. Saya juga mahu menjadi sumber kekuatan kepada orang lain yang pernah berasa lemah seperti saya, supaya mereka juga boleh bangkit dan berjaya,” katanya.

Kisahnya yang disampaikan semasa majlis tersebut turut mengundang rasa sebak dalam kalangan hadirin termasuk ibu bapa pelajar lain.