KAF kesal tindakan bantahan segelintir peneroka Felda Bukit Tajau

Iklan
Wan Azeman (tengah, duduk) bersama sebahagian penduduk dan peserta skim terbabit yang hadir dalam sidang akhbar tersebut.

MARAN - [DIKEMAS KINI] Kami Anak Felda (KAF) Felda Bukit Tajau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir peneroka dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) rancangan itu yang membantah hasil daripada Skim Ladang bersama Felda.

Pengerusinya, Wan Azeman Wan Nasir berkata, bantahan berkenaan disifatkan sebagai tidak wajar memandangkan perbincangan telah diadakan bersama pihak pengurusan Felda pada 15 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Tindakan tersebut hanya memburukkan serta memalukan nama baik Felda Bukit Tajau, termasuk identiti Felda itu sendiri.

"Kami ingin menegaskan bahawa bantahan itu langsung tidak mewakili majoriti suara peserta Skim Ladang Bersama Felda, seperti yang digambarkan dalam laporan media massa," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Felda Bukit Tajau pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keluhan sebahagian peserta skim yang merayu agar pendapatan bersih mereka dapat ditingkatkan kepada RM2,000 ke atas berbanding RM1,200 hingga RM1,400 sebulan menerusi tanaman semula kelapa sawit sejak enam tahun lalu.

Mengulas lanjut, Wan Azeman menegaskan bahawa kebanyakan penduduk dan peserta skim tidak mempunyai masalah dengan pengurusan Felda.

Iklan

"Segala isu yang berbangkit telah dan sedang diperhalusi serta diselesaikan secara harmoni oleh pihak pengurusan Felda, tanpa memerlukan tindakan konfrontasi atau provokasi daripada kami.

"Semasa perbincangan itu diadakan, tiada ketidakpuasan hati atau bangkangan yang disuarakan daripada peserta yang hadir termasuk mereka yang meluahkan keluhan pada pihak media terhadap penjelasan yang diberikan oleh pihak pengurusan Felda," tambahnya.

"Tiada ketidakpuasan hati atau bantahan yang disuarakan oleh peserta yang hadir, termasuk individu yang kemudiannya menyertai demonstrasi," jelasnya.

Susulan itu, KAF Felda Bukit Tajau menuntut supaya Pengerusi JPKK, Nor Azhar Abd Latif bersama ahli jawatankuasa terlibat meletakkan jawatan.

Wan Azeman berkata, tindakan JPKK terbabit tidak mencerminkan peranan mereka yang sepatutnya menjadi jambatan perpaduan antara peserta skim dan pihak pengurusan Felda.