GEORGE TOWN - Jabatan Pembangunan Kanak-kanak Negeri Pulau Pinang sedang mengesan saudara mara terdekat kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu bapa kandungnya.
Ia bertujuan bagi penjagaan sementara di bawah kategori Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, pelindung akan membuat penilaian dari semasa ke semasa terhadap kebajikan mangsa dan sebarang keputusan lanjut akan dirujuk kepada mahkamah selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital.
Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menerima rawatan awal di Hospital Balik Pulau susulan laporan penderaan fizikal dan pengabaian yang diterimanya.
"Kes ini amat menyayat hati. Mangsa dilaporkan mempunyai kesan lebam dan calar pada tubuh badannya serta memberitahu guru bahawa dia pernah dikurung dalam sangkar anjing serta sering dipukul apabila melakukan kesalahan.
"Kerajaan Pulau Pinang memandang serius setiap kes penderaan terhadap kanak-kanak. Tidak ada ruang untuk pengabaian, penderaan mahupun keganasan dalam masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Siew Khim, susulan pendedahan kanak-kanak itu yang mendakwa dikurung berulang kali sejak 2022, lawatan ibu bapa ke hospital tidak dibenarkan buat masa ini demi keselamatan dan kesejahteraan emosi mangsa.
"Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa pasangan itu juga mempunyai anak berusia 15 tahun yang masih bersekolah di Balik Pulau.
"JKM turut menjalankan penilaian terhadap keselamatan remaja ini sebagai langkah perlindungan menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertindak pantas termasuk pihak sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan pasukan perubatan dalam memastikan keselamatan serta pemulihan mangsa.
"Saya memohon masyarakat agar lebih peka dan prihatin terhadap kesejahteraan anak-anak di sekeliling kita.
"Jika terdapat sebarang tanda atau syak wasangka penderaan, buat laporan segera. Kanak-kanak adalah amanah yang tidak seharusnya menjadi mangsa dalam rumah mereka sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis bagi membantu siasatan kes penderaan anak mereka di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini.
Polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada guru besar sekolah murid Tahun Enam berkenaan pada Selasa lalu.
Susulan daripada itu, pasangan suami isteri berusia 47 dan 49 tahun itu direman empat hari untuk siasatan lanjut.
Kejadian itu terbongkar selepas kaunselor sekolah mendapati murid perempuan itu kelihatan dalam kesakitan ketika berada di sekolah.
Selepas disoal siasat dan diperiksa, kaunselor terbabit menemui kesan kecederaan di belakang badan mangsa.
Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah beberapa kali dipukul dengan rotan sejak dua tahun lalu selain mendakwa pernah dikurung di dalam sangkar anjing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.