LRA Taman Mengkuang RM250 juta siap 2026

Iklan
Kon Yeow (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada kakitangan PBAPP mengenai LRA Taman Mengkuang yang akan siap dibina pada November 2026.

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan membina sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Taman Mengkuang, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kos keseluruhan RM250 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, loji baharu yang dinamakan LRA Taman Mengkuang itu terletak kira-kira 550 meter dari Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) iaitu empangan terbesar di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila siap kelak loji berkenaan akan mempunyai kapasiti maksimum hingga 114 juta liter sehari (JLH) dan dijangka mula beroperasi pada November 2026.

"Ini adalah usaha meneroka sumber air mentah tambahan buat pertama kalinya dalam tempoh 26 tahun. Kali terakhir sebuah loji rawatan air baharu dibina bagi tujuan ini adalah pada tahun 1999.

Iklan

"Projek besar ini bukan sekadar sebuah simbol kemajuan tetapi satu keperluan strategik yang dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan air bersih untuk generasi akan datang.

"Loji ini akan memanfaatkan sepenuhnya EMD sebagai sumber air mentah harian. EMD bukan sesuatu yang baharu, namun pendekatan yang kita ambil kali ini adalah sesuatu yang berbeza di mana kita akan menggunakan air dari empangan ini secara berterusan sebagai sumber harian air mentah dan bukan hanya ketika kecemasan," katanya di Majlis Pecah Tanah Projek LRA Taman Mengkuang di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata, sehingga kini, simpanan air mentah dari EMD hanya dilepaskan apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air secukupnya dari Sungai Muda atau semasa berlakunya situasi kecemasan yang menjejaskan Sungai Muda.

"LRA Taman Mengkuang akan memperoleh bekalan air mentah secara harian daripada EMD. Ini sekali gus mengubah status empangan berkenaan daripada rizab kemarau strategik kepada empangan dwi-guna.

"Mulai November 2026, EMD akan melepaskan air setiap hari untuk digunakan oleh LRA Taman Mengkuang. Ia juga kekal sebagai sumber air mentah sandaran kepada LRA Sungai Dua dalam situasi luar jangka,” katanya.

Kon Yeow berkata, penggunaan air di Pulau Pinang telah meningkat daripada 813 JLH pada 2014 kepada 870 JLH pada 2024, dan dijangka melonjak kepada 1,103 JLH menjelang tahun 2030.

"Berdasarkan trend ini serta mengambil kira cabaran besar perubahan iklim yang sedang melanda dunia, sudah tiba masanya kita mengoptimumkan aset telah dibina," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, EMD yang berkapasiti efektif 86,400 juta liter, merupakan empangan yang tidak bergantung kepada hujan secara langsung, sebaliknya diisi semula dengan air mentah yang dipam dari Sungai Kulim ketika musim hujan.

Menurutnya, sejak diperbesarkan, kapasiti EMD tidak pernah turun di bawah 85 peratus, menunjukkan daya tahannya sebagai sumber air mentah negeri ini.

"Pengoperasian LRA baharu ini kelak akan membantu mengurangkan kebergantungan kawasan SPT terhadap air terawat dari LRA Sungai Dua yang terletak di Seberang Perai Utara, malah secara tidak langsung ia turut memberi manfaat kepada pengguna di SPU dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Jika LRA Taman Mengkuang membekalkan air terawat ke SPT, maka lebih banyak air dari LRA Sungai Dua boleh disalurkan ke SPU dan SPS,” jelasnya.

Tambah beliau, antara komponen utama projek LRA Taman Mengkuang termasuk pembinaan modul rawatan air berkapasiti 114 JLH, rumah pam pencucian balik, bangunan dos bahan kimia, tangki air terawat, bangunan rawatan enap cemar serta kolam takungan dan sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (SCADA).

"Projek ini turut merangkumi pemasangan paip pelepasan air mentah berdiameter 1,200 milimeter (mm) dari empangan dan paip pengeluaran air terawat berdiameter 900mm yang akan disambung ke sistem bekalan sedia ada.

"Projek LRA Taman Mengkuang merupakan projek ketiga di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030). Sebelum ini, PBAPP telah menyiapkan modul DAF berkapasiti 10 JLH di Bukit Panchor dan Pakej 12A berkapasiti 114 JLH di LRA Sungai Dua.

"Masih ada lima lagi projek di bawah WCP 2030 yang akan disiapkan sebelum tahun 2030. PBAPP komited untuk melaksanakan kesemuanya mengikut jadual,” ujarnya.