Konsensus nasional baharu: Idealistik tetapi sukar dilaksana

Iklan
Konsensus nasional baharu dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah merupakan cadangan idealistik dan relevan dengan keperluan semasa. Gambar kecil dari kiri: Mujibu, Ariff Aizuddin

SHAH ALAM - Konsensus nasional baharu dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah merupakan cadangan idealistik dan relevan dengan keperluan semasa.

Bagaimanapun, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berpandangan, pelaksanaannya perlu bergantung kepada kesediaan semua pihak melepasi kepentingan politik yang sempit.

Iklan
Iklan

"Jika tidak, ia akan kekal sebagai wacana politik tanpa kesan nyata kepada rakyat dan dari segi praktikal, ia berdepan cabaran besar.

"Ini kerana politik Malaysia masih dibelenggu naratif 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang menjadi modal utama dalam mobilisasi sokongan, baik oleh kerajaan mahupun pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi pembentangan A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape – Building A New Consensus di Singapura menyatakan keperluan membina konsensus tersebut yang lebih mendesak berbanding sebelum ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berpendapat, konsensus baharu itu mesti dibina atas tiga teras utama meliputi matlamat bersama, kemakmuran bersama serta tadbir urus yang penuh belas ihsan.

Iklan

Mengulas lanjut Mujibu berkata, usaha merentasi sempadan identiti sering dilihat sinis atau mengancam kedudukan sesuatu kelompok.

Ditambah dengan situasi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan 15, beliau berkata, rundingan antara blok politik utama sering gagal mencapai persefahaman stabil apabila berlaku perpecahan serta pertukaran sokongan.

Justeru ujarnya, walaupun cadangan berkenaan ideal dan penting, ia hanya akan menjadi realiti sekiranya semua pihak benar-benar komited untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik.

"Sekiranya kerajaan dan pembangkang ikhlas mahu merealisasikan cadangan konsensus nasional baharu, beberapa langkah konkrit mesti diambil antaranya mewujudkan satu platform dialog bipartisan terbuka dan berterusan, melibatkan semua parti politik, masyarakat sivil, agamawan serta belia bagi merumuskan matlamat secara telus.

"Selain itu reformasi politik dan institusi mesti disokong termasuk penggubalan Akta Pendanaan Politik, memperkukuh kebebasan kehakiman, memperbaiki sistem pilihan raya dan menggubal undang-undang anti lompat parti secara menyeluruh.

"Juga perlu ada satu perjanjian politik atau kod etika nasional yang menetapkan prinsip asas konsensus seperti keadilan ekonomi, kebebasan beragama dan penghormatan kepada Perlembagaan disokong secara bersama oleh semua parti sebagai rujukan dalam memacu agenda kenegaraan,” jelasnya.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata, cadangan Ketua Pembangkang itu agak mustahil diterjemahkan kepada satu bentuk yang boleh diolah menjadi teras utama.Beliau berkata, keterbatasan itu berikutan sebahagian besar parti politik masih menggunakan etnik dan agama sebagai senjata politik yang substantif untuk menarik dan memancing undi.

"Kerajaan atau pembangkang perlu berlapang dada demi memenuhi aspirasi bebas politik perkauman serta agama.

"Ia boleh diletakkan dalam satu kerangka baharu politik negara dengan mempraktikkan politik matang yang tidak menjurus kepada perkauman.

"Apabila kedua-dua blok (kerajaan dan pembangkang) sudah bersedia, cadangan itu boleh dipertimbangkan dengan serius,” ujarnya.