MUTIARA Perlis Sdn Bhd melabur sebanyak RM17 juta bagi mendapatkan 15 unit peralatan pengendalian kontena Kalmar dalam usaha memperkukuh infrastruktur logistik darat Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, ia merangkumi enam jentera penyusun, tiga pengendali kontena kosong dan enam traktor terminal yang direka khusus bagi memenuhi keperluan operasi pergerakan kargo multimodal di Perlis Inland Port (PIP).
Menurutnya, pemerolehan itu akan dilaksanakan melalui rakan kongsi yang dilantik, Mach 1 Group.
"Dengan peralatan baharu ini, Mutiara Perlis berada pada kedudukan terbaik untuk menggandakan kapasiti pengendalian kargo sekali gus menyokong matlamat mencapai kapasiti 1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun apabila projek ini siap sepenuhnya menjelang 2030.
"Pemerolehan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha kami untuk menjadikan PIP sebagai peneraju dalam perkhidmatan pelabuhan darat di mana kami bukan sekadar melabur dalam peralatan, tetapi juga melabur demi masa depan logistik negara dan transformasi negeri Perlis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, ia juga menandakan permulaan kerjasama jangka panjang bertujuan mentransformasikan PIP menjadi hab logistik masa depan bagi Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Jelas beliau, PIP yang terletak secara strategik dalam Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand berpotensi menjadi hab logistik utama menghubungkan tiga negara berkenaan.
Dalam masa sama, ia juga akan memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pemain utama dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).