ALOR SETAR - Wang tidak patuh syariah tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sebaliknya perlu dibersihkan dan dilupuskan bagi tujuan maslahat umum atau kepentingan awam.
Ketua Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohd Zamri Bakar berkata, wang tidak patuh syariah adalah wang atau harta yang diperoleh melalui cara tidak diiktiraf oleh syarak seperti harta syubhah, pelaburan haram, aktiviti perjudian, dividen konvensional dan seumpamanya.
Menurutnya, bermula tahun 2022, Baitulmal Majis Agama Islam Negeri Kedah telah mengambil inisiatif menyediakan kabin guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) melalui peruntukan wang tidak patuh syariah tersebut.
"Baitulmal Majis Agama Islam Negeri Kedah menjadi perintis kepada Projek Kabin Guru KAFA dan pada hari ini satu lagi kabin yang bernilai RM15,380 berjaya direalisasikan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan simbolik penyerahan Projek Kabin Bilik Operasi Pendidikan Islam KAFA bagi tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidiq di sini baru-baru ini.
Beliau dalam masa sama merakamkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah kerana terpilih untuk projek kabin guru KAFA berkenaan.
"Semoga dengan adanya kabin guru KAFA ini dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada guru KAFA.
"Melalui sumbangan ini juga diharapkan agar guru dapat memberikan lebih tumpuan dan fokus ke arah peningkatan prestasi pelajar," katanya.