Titah Adendum: Cubaan mulakan prosiding komital melanggar perintah mahkamah, kata AGC

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan mahkamah (komital) terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, ketika perintah penangguhan masih berkuat kuasa, adalah satu pelanggaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, AGC berkata, tindakan itu menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.

"Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut diketepikan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu merujuk kepada permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin yang disahkan oleh pasukan peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tetuan Shafee & Co bertarikh 23 Mei.

Najib menerusi pasukan peguamnya memfailkan prosiding komital pada Rabu lalu terhadap Ahmad Terrirudin supaya dipenjarakan kerana menghina mahkamah membabitkan Titah Adendum.

Iklan

Mengulas lanjut, AGC berkata, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut merupakan subjek rayuan yang belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan sesi pendengaran dijadualkan pada 1 dan 2 Julai depan.

Ujar jabatan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 April lalu telah membenarkan penangguhan semua prosiding berkaitan sehingga keputusan rayuan itu diselesaikan.

Iklan

Sementara pada Rabu, mahkamah turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan itu meliputi semua prosiding sedia ada dan yang akan datang termasuk prosiding penghinaan mahkamah.

Dalam kenyataan sama, jabatan itu turut mempertahankan Ahmad Terrirudin yang sebelum ini dikritik susulan dakwaan kononnya mengelirukan mahkamah dalam kes semakan kehakiman Najib terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.

"Sebagai Peguam Negara, beliau menjalankan tugas-tugas selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan tersebut.

"Dakwaan bahawa beliau telah mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas dan kini sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara," katanya.

Dalam pada itu, AGC menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk meneliti dan memutuskan isu-isu berkaitan secara bebas tanpa sebarang tekanan atau spekulasi awam.

"Keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan,” menurut kenyataan tersebut.

Permohonan komital terhadap Ahmad Terrirudin adalah susulan dakwaan pihak pembelaan bahawa beliau memberikan maklumat yang tidak tepat berhubung peranan Lembaga Pengampunan dalam kes Najib yang sedang menjalani hukuman penjara berkaitan skandal SRC International.