BONDOWOSO – Satu fenomena unik menggemparkan penduduk setempat dan warganet.
Sebuah jalan di kawasan berbukit menuju ke Kawah Ijen di Desa Kalianyar, Kecamatan Ijen, Kabupaten Bondowoso di Indonesia menjadi tular selepas ia didakwa memiliki medan magnet yang boleh menyebabkan kenderaan bergerak sendiri walaupun enjin sudah dimatikan.
Rakaman kejadian itu turut menjadi tular di media sosial terutamanya di TikTok.
Salah seorang penduduk yang teruja melakukan eksperimen ialah Ervandi, warga Kelurahan Badean, Bondowoso.
"Saya cuba sebanyak dua kali iaitu pertama ketika enjin dimatikan dan kedua semasa gear berada dalam kedudukan neutral.
"Kereta saya tetap bergerak sendiri pada jarak kira-kira 30-40 meter," lapor TribunJatim.com memetik kenyataannya pada Khamis.
Lokasi fenomena itu berada di sempadan Afdeling Watucapil dan Pelalangan laluan berbukit menuju ke Kawah Ijen yang merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di Jawa Timur.
Kejadian itu membuat ramai penduduk membandingkannya dengan Jabal Magnet di Madinah, Arab Saudi yang mempunyai medan magnet kuat hingga berupaya menarik kenderaan ke atas bukit.
Ervandi berharap penyelidikan lanjut dapat dijalankan kerana jika terbukti sebagai fenomena medan magnet, ia berpotensi menjadi salah sebuah lokasi tumpuan pelancong di Bondowoso.
Sementara itu, ketua kampung Kalianyar, Mohammad Fauzi memberi pendapat berbeza kerana beliau percaya ia mungkin disebabkan ilusi optik semata-mata.
"Secara visual memang kelihatan kenderaan seperti sedang bergerak padahal ia adalah kerana laluan yang sedang menurun.
"Sehingga kini, belum ada penelitian rasmi dibuat, namun kawasan itu terus diserbu penduduk dan mahu mencuba fenomena tersebut," ujarnya. - Agensi