Menilai idealisme Puteri Reformasi, realiti 'real politik' Rafizi

Iklan
Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Rafizi Ramli

DALAM arus politik tanah air yang sentiasa berubah, idealisme dan realisme sentiasa bertembung lebih-lebih lagi apabila melibatkan wajah-wajah penting dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Nurul Izzah Anwar, figura yang sinonim dengan reformasi politik sejak muda terus konsisten dengan impian membina PKR sebagai parti idealis yang memelihara prinsip keadilan, integriti dan pembaharuan.

Iklan
Iklan

Bagi Nurul Izzah, PKR harus menjadi wadah bersih yang memperjuangkan rakyat, bukan sekadar mengisi kuota kuasa.

Naratif beliau sarat dengan keinginan untuk mengembalikan idealisme perjuangan, jauh daripada permainan politik konvensional yang mengorbankan prinsip demi sokongan.

Iklan

Bagaimanapun, nada berbeza pula datang daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang juga rakan seperjuangan Nurul Izzah yang tidak kurang hebatnya.

Rafizi sering dilihat lebih pragmatik apabila menekankan keperluan strategi 'real politik' untuk memastikan kelangsungan PKR dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Iklan

Bagi beliau, perjuangan tanpa strategi hanyalah mimpi indah yang sukar dicapai.

Bagaimanapun, perbezaan itu bukanlah perpecahan, sebaliknya menggambarkan dinamika dalam PKR itu sendiri.

Seorang bermimpi tentang wajah Malaysia yang lebih ideal, seorang lagi cuba mencari jalan agar mimpi itu mampu direalisasikan dalam realiti politik semasa.

Soalnya kini, adakah PKR mampu mendamaikan idealisme Nurul Izzah dengan pendekatan Rafizi? Atau mungkinkah perbezaan tersebut menjadi titik mula kepada perubahan hala tuju parti itu sendiri?

Sebagai parti yang pernah menjadi simbol harapan rakyat pasca Reformasi 1998, cabaran terbesar PKR bukan sahaja untuk kekal relevan, tetapi juga dalam memastikan parti ini tidak kehilangan roh perjuangan asalnya.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), penyatuan antara idealisme dan strategi mungkin menjadi kunci.

Nurul Izzah dan Rafizi - dua wajah berbeza, dua pendekatan tidak sama tetapi keduanya mahukan yang terbaik buat parti dan rakyat.

Maka, titik pertemuan mereka sangat dinanti.