Sidang Kemuncak ASEAN pentas penting buat Malaysia

Iklan
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga 28 Mei

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga 28 Mei menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama rantau Asia Tenggara.

Sidang berkenaan merupakan platform tertinggi bagi negara-negara menganggotainya termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja membincangkan isu serantau secara kolektif.

Iklan
Iklan

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalas tanggungjawab besar untuk membina konsensus, merangka masa depan rantau dan memastikan suara Malaysia bergema di pentas antarabangsa.

Dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa pada malam Rabu, Anwar memaklumkan beberapa agenda utama akan ke meja perbincangan termasuklah situasi di Gaza, pengukuhan kerjasama antara negara anggota, kepentingan ekonomi serantau serta inisiatif pelaburan dalam kalangan negara ASEAN.

Iklan

Dalam isu Gaza, Malaysia berdiri teguh membawa suara rakyat tertindas dan tindakan Perdana Menteri membangkitkan isu itu di platform ASEAN menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara kecil yang tunduk pada tekanan kuasa besar, tetapi mampu menjadi suara moral di tengah-tengah kekalutan dunia.

Lebih penting, keberanian tersebut dilihat dapat memperkukuh imej Malaysia sebagai negara berprinsip yang tidak mengetepikan nilai kemanusiaan walau di tengah perbincangan ekonomi.

Iklan

Imej seumpama itu sangat penting dalam menarik pelabur ketika ini yang semakin mementingkan faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, sidang tersebut juga menjadi ruang penting untuk menyelaras dasar ekonomi, perdagangan dan keselamatan serantau yang turut memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hadir pada ketika rantau dan dunia berdepan pelbagai cabaran dari ketegangan geopolitik, perubahan iklim hingga ekonomi digital yang pantas berubah.

Justeru, keperluan melaksanakannya bukan sekadar rutin tahunan ataupun simbol diplomasi, sebaliknya ia merupakan pentas penting untuk Malaysia memperkukuh peranannya sebagai peneraju serantau.

Dalam usaha menghadapi cabaran global, pelaksanaan sidang itu membolehkan Malaysia bergerak seiring dengan negara-negara serantau dalam memastikan pertumbuhan yang inklusif, stabil dan mampan.