HEBOH di media sosial tentang isu sos cili apabila golongan wanita terutamanya para isteri 'berperang' mempertahankan pendirian masing-masing.
Merak Jalanan pun terjebak sama membaca catatan tersebut yang menyebut koyakkan sos cili peket yang kemudiannya diletakkan atas burger boleh membawa kepada kes curang.
Catatan itu memang bikin panas, namun agak melucukan kerana ramai yang membuat troll mempersenda catatan asal.
Tak pasal-pasal sos cili jadi topik popular dan 'musuh ketat' para isteri sejak kelmarin.
Merak Jalanan bukanlah mahu sokong mana-mana pihak, tetapi tak sangka pula, gara-gara cerita teman sekerja perempuan koyakkan sos cili peket untuk suami orang, banyak hati isteri yang 'koyak' kerana pengorbanan mereka yang lebih besar termasuk melahirkan anak hanya dipandang sepi.
Ada juga yang mempersenda teori tak masuk akal itu kononnya lama-kelamaan suami akan tewas jika perempuan lain tolong koyakkan sos cili peket kerana perilaku curang sebenarnya boleh berlaku disebabkan pergaulan bebas di tempat kerja.
Kes bermain kayu tiga boleh terjadi tanpa mengira jantina. Bak kata pepatah, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Curang sebenarnya pilihan individu kerana tidak akan wujud perosak rumah tangga jika tiada siapa yang melayan, membuka ruang dan peluang.
Berbalik isu peket sos cili, Merak Jalanan sokong idea seorang warganet yang cadangkan lepas ni hanya pakai sos cili dalam botol kerana lebih selamat dan mudah dibuka.
Rakan Merak Jalanan lain pula ceritanya, dia tidak terkesan langsung dengan 'perang sos cili' kerana suaminya bukanlah penggemar sos cili sebaliknya 'hantu kicap'.
Dia sempat berseloroh, mujurlah orang kita belum cipta makan burger tuang kicap peket.