MERAK Jalanan sebenarnya tengah marah, bukan kerana seorang rakyat membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi kerana selepas membuat aduan, orang yang diadu pula tahu siapa pengadunya.
Kisah ini Merak Jalanan lihat menerusi satu rakaman video dikongsi seorang lelaki di media sosial. Dia mendakwa membuat aduan kepada sebuah pihak berkuasa tempatan di Selangor.
Iklan
Iklan
Namun selepas itu, lima lelaki datang ke rumahnya. Ada yang muda, ada yang sudah berusia. Pengadu tersebut pula tidak berani keluar rumah.
Macam mana boleh jadi begitu? Kalau benar maklumat pengadu diperoleh daripada situ, siapa yang membocorkannya? Persoalan ini bukan kecil. Orang awam membuat aduan kerana percaya identiti mereka akan dilindungi.
Tetapi kalau selepas membuat laporan, mereka pula terpaksa takut orang datang ke rumah, siapa lagi yang berani menjadi pengadu?
Merak Jalanan faham, dakwaan ini perlu disiasat dan tidak boleh terus menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi satu perkara mesti dijawab; bagaimana maklumat pengadu boleh sampai kepada pihak yang diadukan?
Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Namun kalau mata dan telinga itu pula takut kerana identitinya mungkin terbongkar, jangan terkejut kalau suatu hari nanti rakyat memilih untuk pejam mata dan tutup mulut.