“TAK perlu lelaki pun boleh hidup.”
Ayat macam ini bukan lagi pelik. Buka TikTok, Instagram atau X, boleh nampak bagaimana kehidupan tanpa pasangan lelaki kadang-kadang digambarkan sebagai simbol kebebasan, kejayaan dan self-love.
Merak Jalanan tak salahkan wanita kalau mereka mahu berdikari. Malah, bagus kalau seorang wanita mampu cari duit sendiri, ada kerjaya dan tidak meletakkan seluruh masa depan di tangan orang lain.
Tapi yang Merak Jalanan jadi pelik bila perkataan ‘berdikari’ mula diterjemahkan sebagai tak perlukan lelaki langsung.
Lebih parah, ada pula kandungan menggambarkan lelaki sebagai beban, perkahwinan sebagai perangkap dan menjadi isteri atau ibu seolah-olah satu langkah ke belakang dalam kehidupan. Persoalannya, sejak bila berdikari bermaksud kita perlu membenci atau menolak peranan jantina yang berbeza?
Bagi Merak Jalanan sendiri, kalau seorang wanita berjaya dalam kerjaya, itu kejayaan. Kalau dia memilih menjadi isteri dan ibu, itu juga pilihan yang patut dihormati. Dua-duanya bukan pertandingan.
Hakikatnya, manusia memang saling memerlukan. Lelaki perlukan wanita, wanita perlukan lelaki. Sebab itu perkahwinan dalam Islam bukan dibina atas konsep siapa lebih berkuasa, tetapi tanggungjawab, amanah dan saling melengkapi. Jangan terlalu cepat telan semua yang viral.
Kadang-kadang ayat ‘aku tak perlukan sesiapa’ memang nampak kuat di media sosial. Tetapi kehidupan sebenar bukan TikTok. Sebab bila telefon dimatikan, Likes hilang dan kamera berhenti merakam, kita tetap perlukan manusia untuk berkongsi hidup. Berdikari itu hebat. Tetapi jangan sampai berdikari membuatkan kita lupa erti saling memerlukan.