SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid menegaskan bahawa dakwaan penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk adalah tidak berasas dan bersifat prejudis.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan bukan sahaja menunjukkan ketidakfahaman terhadap struktur pelaksanaan kerajaan tempatan, malah mencemarkan nama baik ribuan penjawat awam yang terlibat secara profesional dalam proses perolehan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Lebih mengecewakan apabila dakwaan ini secara tidak langsung menjejaskan integriti pegawai-pegawai awam yang komited menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Danial yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, proses pelantikan kontraktor MyKiosk dijalankan sepenuhnya oleh PBT melalui sebut harga terbuka yang mematuhi garis panduan kewangan dan tatacara perolehan yang ditetapkan.
"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya berperanan menyediakan dan menyalurkan peruntukan. Semua pelantikan dilakukan secara telus oleh PBT mengikut keperluan kawasan. Setakat ini, seramai 795 kontraktor telah dilantik di seluruh negara,” ujarnya.
Sebagai bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), beliau menjelaskan proses perolehan di peringkat PBT melibatkan pelbagai lapisan pegawai serta pemantauan audit dalaman, justeru mustahil dilakukan secara sewenang-wenangnya.
"MyKiosk adalah projek berimpak tinggi yang mampu memperkasakan penjaja kecil, menangani kemiskinan bandar serta menyediakan kemudahan lebih selesa dan selamat kepada peniaga,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan niat pihak tertentu yang dilihat cuba meraih keuntungan politik jangka pendek dengan memperlekeh usaha kerajaan memperkasa ekonomi rakyat marhaen.
"Saya menggesa agar segala permainan persepsi murahan ini dihentikan segera. Jangan rosakkan usaha murni yang sedang memartabatkan penjaja kecil dan menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat,” tegas beliau.