Tempoh lesen vape di Kedah tamat Disember ini, tiada lanjutan

Iklan
Mansor Zakaria

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak akan mempertimbangkan sebarang lanjutan tempoh kepada peniaga vape di negeri ini untuk menghentikan operasi selepas lesen mereka tamat tempoh pada Disember ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, tempoh tujuh bulan yang diberikan sehingga hujung tahun ini adalah mencukupi bagi peniaga terlibat beralih kepada bidang perniagaan lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penguatkuasaan secara berperingkat ini untuk mencapai sasaran sifar penjualan vape menjelang tahun depan.

"Kita beri mereka tempoh sehingga Disember. Mereka ada tujuh bulan dari sekarang.

Iklan

"Tempoh itu adalah memadai untuk mereka bertukar arah perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mansor berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Iklan

Pada Rabu lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri tidak akan memperbaharui mana-mana lesen perniagaan vape yang tamat pada tahun ini sebagai langkah menangani penyalahgunaan bahan terlarang yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil berikutan terdapat laporan berhubung penyalahgunaan dadah sintetik yang dicampur dalam cecair vape, termasuk diedarkan kepada pelajar sekolah.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan rasa kecewa segelintir peniaga vape yang meminta lebih masa untuk beralih kepada perniagaan baharu.

Mansor berkata, peniaga mempunyai masa secukupnya kerana tindakan penguatkuasaan hanya akan bermula awal tahun hadapan terhadap mana-mana premis yang masih menjual produk vape selepas tempoh ditetapkan.

"Berdasarkan semakan, sebahagian besar lesen perniagaan akan tamat Disember ini, manakala sebilangan kecil tamat pada Januari dan Februari tahun depan.

"Jika mereka gagal patuhi arahan, tindakan sitaan dan kompaun akan dikenakan,” katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan terhadap kedai serbaneka dan premis lain yang turut menjual produk vape terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kerajaan Persekutuan yang keluarkan lesen vape, kerajaan negeri hanya keluarkan lesen premis untuk jualan vape. Namun kita pula yang terpaksa kawal penjualan. Jika tiada lesen dikeluarkan, isu ini boleh selesai,” ujarnya.

Berikutan itu, Mansor menggesa agar kementerian berkenaan membatalkan semua lesen pengeluaran dan penjualan produk vape yang dikeluarkan sebelum ini.

Penjualan produk vape tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Pada 24 April lalu, kerajaan negeri Terengganu turut mengumumkan larangan penjualan vape di semua premis bermula 1 Ogos, diikuti Perlis turut mengambil langkah sama pada Rabu lepas.