Saarani arah JAIPk siasat dakwaan pemimpin Pas mengajar tanpa tauliah di masjid

Iklan
Saarani . Foto Bernama

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah menyiasat laporan terdapat pemimpin Pas Perak yang mengajar di masjid-masjid di negeri ini tanpa tauliah sah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini perkara tersebut hanya diketahui menerusi media sosial dan siasatan perlu dilakukan dengan teliti serta terperinci bagi menentukan kesahihan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan mengajar di masjid tanpa tauliah apatah lagi melibatkan pemimpin politik merupakan satu kesalahan serta melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Jadi kalau ia telah dilaporkan secara rasmi kepada JAIPk, maka JAIPk yang bertanggungjawab untuk menyiasat sama ada laporan itu benar ataupun salah.

Iklan

"Tak kira siapa sahaja sama ada orang kerajaan atau pembangkang, jika didapati melanggar titah Tuanku, itu satu kesalahan. Tapi sebarang pertuduhan itu kena dibuktikan betul dan berasaskan kepada siasatan yang adil," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Negeri Perak dan menyaksikan Majlis Kolaborasi Strategik Projek Hab Agromakanan NCER di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini, pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, Saarani mengingatkan kembali semua pemimpin politik khususnya di Perak agar akur dengan titah Sultan Nazrin berkaitan tauliah mengajar di masjid dan surau serta solat Jumaat di Perak.

"Ingatan untuk diri saya sendiri. Saya pun kena akur dengan titah Tuanku.

"Walaupun banyak kali waktu solat Jumaat orang jemput (berucap), saya pun cakap tak boleh, saya tidak boleh (berucap)," katanya.

Terdahulu sebuah portal mendakwa dua pemimpin utama Pas Perak didakwa melanggar garis panduan JAIPk apabila memberi kuliah agama di masjid yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tanpa memiliki tauliah yang sah.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung pelanggaran tersebut.