JOHOR BAHRU – Keputusan pemilihan bagi kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kemungkin keputusan itu akan diumumkan selepas selesai penggulungan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika selesai penggulungan oleh Perdana Menteri, kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada sesi taklimat media Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada petang Khamis.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, majlis rasmi pertukaran Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan berlangsung pada jam 2.30 petang di Persada pada Sabtu.
"Dalam majlis itu, barisan MPP sesi 2022–2025 akan menyerahkan tanggungjawab kepada MPP baharu sesi 2025–2028.
"Acara ini akan menyaksikan peralihan secara simbolik dan rasmi di atas pentas," katanya.
Menurut Fuziah, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.
Sementara bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
"Seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
"Jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
"Seramai 22,809 perwakilan akan mengundi bagi memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP), termasuk 13,060 secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal.
"Daripada jumlah itu, 6,990 perwakilan akan hadir di Johor Bahru manakala 1,120 dan 919 akan mengundi secara fizikal di Sabah dan Sarawak," katanya.