LIMA' 25: Polis terima 27 laporan kerosakan kediaman penduduk

Iklan
Sebanyak 27 laporan diterima berhubung kerosakan kediaman penduduk kampung yang dipercayai akibat gegaran semasa pertunjukan udara sempena LIMA’ 25. Foto Bernama

LANGKAWI – Sebanyak 27 laporan diterima berhubung kerosakan kediaman penduduk kampung yang dipercayai akibat gegaran semasa pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, semua laporan tersebut akan disiasat sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

"CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) akan membuat pemeriksaan dan setelah pemeriksaan serta pengesahan dilakukan, hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak penganjur, iaitu Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), untuk dibuat pengkategorian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Operasi Keselamatan dan Lalu Lintas sempena LIMA’25 di Pusat Latihan Polis Langkawi, di sini, pada Khamis.

Iklan

Dalam masa sama, Fisol berharap laporan yang dibuat adalah sahih dan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas insiden berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum serta tidak akan mengabaikan dakwaan kerosakan rumah penduduk yang dikaitkan dengan penganjuran LIMA’25.

Iklan

Sementara itu, Fisol memaklumkan sebanyak 9,000 tempat letak kereta disediakan di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan 300 lagi di Resorts World Langkawi bagi kemudahan pengunjung ke LIMA’25 yang mula dibuka kepada orang awam bermula esok.

"Orang ramai yang hendak menyaksikan pertunjukan udara mahupun maritim esok dinasihatkan datang lebih awal bagi mendapatkan parkir. Saya juga difahamkan sebanyak 35,000 tiket dalam talian telah dijual dan saya rasa itu adalah jumlah yang besar,” katanya.

Selain itu, Fisol turut menyarankan supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan e-hailing rasmi LIMA’25 iaitu MyCar kerana ia lebih murah berbanding bergerak sendiri. - Bernama