SEGAMAT – Kecuaian seorang pemandu lori yang tidak mematuhi had ketinggian kenderaan menyebabkan lori dipandunya tersangkut dalam sebuah terowong di Jalan Ibrahim, Labis, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.28 petang ketika lori terbabit dalam perjalanan dari arah Labis menghala ke Selangor.
Iklan
Iklan
"Siasatan mendapati pemandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu tidak memberi perhatian terhadap papan tanda had ketinggian sebelum melanggar bahagian atas terowong.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat lalu lintas.
Pada masa sama, Ahmad Zamry turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap papan tanda keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini.